Contohi rakyat Taiwan cegah penularan Covid-19

0
107

CYBERJAYA – Taiwan menjadi contoh bagaimana rakyatnya mencegah penularan wabak Covid-19 daripada terus merebak dengan mengamalkan disiplin sekali gus mengurangkan jangkitan serta kematian di negara itu.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Taiwan tidak pernah membuat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan ‘Lockdown’ sejak wabak tersebut melanda di seluruh dunia yang mencatatkan jumlah kematian terendah di dunia iaitu enam kes sahaja.

“Kejayaan itu hasil daripada disiplin rakyat yang menentukan mereka selamat daripada Covid-19,” katanya dalam sidang akhbar selepas Mesyuarat Harian PKP di Putrajaya hari ini.

Ismail Sabri menambah, apabila Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bermula esok, tanggungjawab menjaga kepentingan diri bergantung kepada rakyat.

“Kita mesti ambil kawalan kendiri untuk memastikan kita terus selamat. Kawalan kendiri adalah penting untuk keselamatan diri, keluarga dan masyarakat,” katanya.

Dalam pada itu beliau berkata, PKPB yang bermula esok menyaksikan sebahagian besar sektor perniagaan dan industri telah diberi kebenaran untuk memulakan operasi.

Bagaimanapun, katanya, keputusan untuk beroperasi esok atau sebaliknya adalah
terpulang kepada mereka yang terlibat.

“Bagi mereka yang telah membuat keputusan untuk beroperasi, hendaklah mematuhi setiap prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh kerajaan.

“Kerajaan mengambil maklum mengenai kebimbangan orang ramai terhadap pembukaan semula sektor perniagaan dan industri apabila berlakunya pergerakan secara besar-besaran,” katanya.

Malah, ujar beliau, ramai turut melahirkan kerisauan kemungkinan PKPB ini boleh menyebabkan penularan semula jangkitan Covid-19.

“Pakar-pakar perubatan menjangkakan vaksin COVID-19 akan dapat disiapkan seawal tahun depan. Selagi vaksin belum dapat dihasilkan secara skala besar, wabak ini akan terus
mengancam kita.

“Jika ia mengambil masa dua tahun untuk menghasilkan vaksin, ini bermakna kita tidak akan mampu melaksanakan PKP untuk tempoh selama itu,” ujarnya.

Beliau berkata, rakyat perlu mengamalkan kawalan kendiri untuk memastikan dapat menghindarkan diri daripada wabak ini dan memutus rantaian jangkitan Covid-19.

“Kerajaan menyeru rakyat supaya memainkan peranan dan tanggungjawab bagi memastikan keselamatan diri, keluarga dan komuniti. Jika tiada keperluan untuk keluar, elakkan
berada di tempat awam. Keselamatan diri dan keluarga kita adalah tanggungjawab kita
sendiri,” tegasnya. – MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here