Covid-19: 58 pulih, 37 kes baharu dan dua kematian

0
53

CYBERJAYA- Sebanyak 58 kes Covid-19 telah pulih dan dibenarkan discaj pada hari ini selain terdapat pertambahan 37 kes baharu dan juga dua kematian yang dilaporkan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah kumulatif pulih ketika ini ialah sebanyak 5,281 kes atau 77.9 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Beliau berkata, kes baharu yang dilaporkan pada hari ini melibatkan 21 kes dalam kalangan bukan warganegara Malaysia, ia melibatkan 33 kes penularan tempatan dan empat kes import.

“Oleh itu, jumlah kes positif Covid-19 di Malaysia adalah sebanyak 6,779 kes dan jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 adalah 1,387 kes.

“Sehingga kini, seramai 16 kes positif Covid-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU). Daripada jumlah tersebut, empat kes memerlukan bantuan pernafasan.

“Dukacita dimaklumkan, terdapat pertambahan dua lagi kes kematian Covid-19 dan jumlah kumulatif kematian ialah 111 kes,” katanya dalam sidang akhbar di Putrajaya hari ini.

Menurut Dr. Noor Hisham, kes kematian ke-110 merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 30 tahun yang ditemui mati di Rompin, Pahang.

“Keputusan ujian sampel Covid-19 yang diambil semasa bedah siasat didapati positif pada 12 Mei. Kes ini di bawah siasatan Polis Diraja Malaysia dan Pejabat Kesihatan Rompin. Punca jangkitan belum dikenalpasti dan masih di dalam siasatan.

“Kes kematian ke-111 merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 90 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit darah tinggi dan penyakit kronik pernafasan.

“Beliau telah dirawat di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom, Johor pada 16 April lalu dan disahkan meninggal dunia pada pukul 10.36 pagi hari ini,” katanya.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here