
Oleh NINA FARZUIN MD SHAROM
CYBERJAYA – Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, amaran yang dikeluarkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bahawa negara yang mana mengalami penurunan kes Covid-19 bakal berdepan gelombang kedua adalah berasas.
“Memang kita lihat amaran daripada WHO itu ada asasnya. Kita lihat banyak negara telah melonggarkan dari segi kawalan pergerakan dan sebagainya.
“Jadi kalau kita tidak patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) mungkin kes akan bertambah,” katanya pada sidang akhbar di Putrajaya hari ini.
Pada masa sama, beliau turut memaklumkan Malaysia telah menyumbang kepada 0.14 peratus daripada jumlah keseluruhan kes positif Covid-19 dari seluruh dunia.
“Berdasarkan laporan WHO, sebanyak 5,559,130 kes Covid-19 telah dicatatkan di seluruh dunia sehingga semalam.
“Daripada jumlah ini sebanyak 348,610 kes kematian telah dilaporkan setakat ini. Pandemik ini dilihat semakin serius dan masih jauh dari berakhir,” katanya.-MBNews