Covid-19: Cadangkan SOP untuk sekolah, taska dan tadika

0
564

Susunan NORDEN MOHAMED

RAUDHAH CITY – Saya baharu sahaja (semalam) mendengar amanat daripada Abah Malaysia, Perdana Menteri (PM), Tan Sri Muhyiddin Yassin, mengenai pengumuman lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) hingga 9 Jun. Kami dari kumpulan pengasas-pengasas tadika turut berbincang mengenai hal ini.

Sebagai rakyat kita wajib patuh dengan perintah. Pastinya pihak kerajaan telah mendapat pandangan pakar-pakar sebelum membuat keputusan melanjutkan PKPB ini. Secara peribadi saya setuju dengan keputusan melanjutkan PKPB ini.

Pentingnya Taska dan Tdadika Untuk Ibu Bapa Bekerja

Tetapi saya khuatir dengan kesan kepada ekonomi apabila terdapat beberapa buah kerajaan negeri tidak mengikuti keputusan kerajaan pusat sepenuhnya kerana mempunyai penilaian masing-masing. Saya sendiri sudah merasai dan begitu juga kawan-kawan lain yang terkesan.

Contohnya dari segi taska dan tadika. Saya menyentuh mengenai taska dan tadika yang membuat program penuh sehari di mana ibubapa bergantung dengan mereka kerana tiada orang tua ataupun pembantu rumah untuk menjaga anak-anak mereka.

Mereka boleh kembali bekerja tetapi mereka tiada khidmat sokongan di rumah. Saya mengharapkan PM berikan prosedur opeasi standard (SOP) baharu untuk taska dan tadika yang sepenuh hari. Malangnya tiada. Jika dirujuk kepada pengumuman sewaktu PKP, taska yang merupakan perkhidmatan soial, tidak disebut secara khusus.

Jadi walaupun PKPB ini dilanjutkan, ia mestilah diperjelaskan secara terperinci. Jika taska dan tadika tidak dibuka, bagaimana ibubapa mahu pergi bekerja? Apabila ibubapa tidak pergi bekerja bagaimana mereka mahu ada pendapatan? Jika mereka tiada pendapatan bagaimana mereka mahu meneruskan kehidupan?

Kami sebagai pengendali menghadapi masalah apabila Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan (KKM) mengkelaskan taska dan tadika sebagai satu bentuk perhimpunan ramai. Jika ibu bapa tidak boleh bekerja kerana anak mereka tiada siapa yang jaga, bagaimana ekonomi boleh mula pulih?

Separuh Taska Dan Tadika Akan Tutup

Banyak perkara yang tidak diperhatikan oleh pihak kerajaan. Contohnya, tiba-tiba pihak Socso mengumumkan bahawa subsidi gaji yang ditawarkan kepada mereka yang hilang pekerjaan sudah habis. Jadi, banyak perniagaan tidak dapat manfaat daripada upah subsidi.

Sepatutnya inudstri kecil dan sederhana (SME) yang punyai pekerja bawah 75 orang akan mendapat subsidi RM1,200. Itu akan banyak membantu. Saya difahamkan bahawa semua SME akan mendapatkannya. Namun, sebaliknya banyak SME yang tidak dapat.

Maknanya banyak perniagaan kena gunakan dana simpanan sendiri, sedangkan kebanyakan perniagaan tidak mempunyai banyak simpanan. Apabila PKP ini dilanjutkan hingga tiga bulan, menurut penilaian saya, di antara 50 hingga 60 peratus perniagaan akan gulung tikar.

Ini akan memberi kesan yang buruk dalam ekonomi kita dan akan mewujudkan masalah sosial. Dalam Bantuan Prihatin Nasional (BPN) pun, kerajaan memberi RM1,000 + RM600 kepada keluarga. Tetapi ramai juga yang tidak berkeluarga. Ini akan memberi kesan yang sangat besar kepada kehidupan sosial di negara kita.

Mengapa Kerajaan Pusat dan Negeri Tidak Seragam?

Kita gembira apabila PM umumkan bahawa sudah banyak kawasan yang telah menjadi zon hijau dan pematuhan SOP rakyat adalah amat tinggi. Maknanya rakyat Malaysia semua sudah patuh memakai topeng muka. Sebab itu tidak terdapat kes-kes baharu yang meningkat terlalu tinggi. Sekiranya berlaku kenaikan, pengumuman Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) akan diadakan.

Pihak kerajaan seharusnya mengumumkan SOP secara yang lebih terperinci. Seharusnya libatkan kerajaan-kerajaan negeri melalui Menteri Besar dan Ketua-Ketua Menteri agar mendapat persetujuan dengan keputusan kerajaan pusat.

Jika PKPB tidak dituruti secara menyeluruh oleh kerajaan-kerajaan negeri, misalnya jika terdapat perbezaan SOP restoran di antara Kuala Lumpur dan Selangor, maka ia akan memberi kesan terhadap perniagaan itu sendiri.

Kita tidak mahu apabila Kerajaan Pusat buat pengumuman, kerajaan negeri pula ambil masa untuk menterjemah pengumuman itu menurut tafsiran mereka. Kerana kelewatan ini, kita terlepas peluang-peluang untuk memperbetul asas ekonomi kita. Ini mengakibatkan implikasi yang sangat serius kepada masyarakat.

Apabila tiada perbincangan, apa jua pengumuman tidak semestinya dipersetujui oleh kerajaan negeri. Rakyat terpaksa meneliti dengan berhati-hati perbezaan perlaksanaan PKPB yang diumumkan.

Bawa Usul Kepada Perdana Menteri

Dalam pada itu, sekiranya sekolah tidak dibenarkan beroperasi dan pada masa yang sama tidak menentukan tarikh bila ia boleh beroperasi kembali, para ibu bapa boleh mengeluarkan anak mereka daripada sekolah dan tidak mahu membayar apa-apa. Ini akan mengakibatkan kerugian dan sekolah-sekolah swasta ditutup.

Saya telah berbincang dengan Persatuan Tadika Islam Malaysia. Insya-Allah kami akan mengemukakan surat kepada Perdana Menteri, salinan kepada kementerian-kementerian berkenaan dan juga Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Kami akan membentangkan aspek betapa sistem sokongan itu penting. Misalnya ibu bapa perlukan pihak yang menjaga anak-anak mereka apabila mereka pergi bekerja. Mereka tiada pilihan kerana pada hari ini pembantu rumah hampir tiada dan kita juga tidak mahu bergantung kepada tenaga asing.

Tetapi apabila sektor khidmat sokongan seperti taska dan tadika ini tidak diambil kira dalam tempoh PKPB ini, dan Kementerian Pendidikan (MOE) memberi maklum balas bahawa taska dan tadika tidak boleh dibuka, ia memberi kesan yang cukup besar.

Menurut statistik, 90 peratus rakyat Malaysia tidak mempunyai dana simpanan lebih RM1,000. Jika diteruskan, ia akan menjadi masalah rakyat.

Cadangan SOP Untuk Sekolah

Waktu ini sepatutnya sudah ada SOP seperti menghadkan jumlah pelajar, misalnya mengadakan kelas berselang hari. Itu boleh dilakukan oleh pihak kerajaan. Dengan cara ini persekolahan masih boleh diteruskan dalam SOP yang lebih ketat.

Barangkali pihak kerajaan tidak mengambil kira pendekatan pihak swasta ketika membuat SOP. Pihak kerajaan tidak terkesan dari segi pendapatan sementara pihak swasta memang berdepan dengan masalah ini.

Sekolah-sekolah di China sudah dibuka kembali dengan SOP yang lebih ketat. Kita pun sudah tahu SOP dengan budaya baharu yang perlu diamalkan seperti penjarakkan sosial, menutup muka dan menjaga kebersihan. Ini semua sudah maklum kepada masyarakat.

Dalam bidang pendidikan, seharusnya pihak kerajaan memanggil juga kami dari industri untuk memberi input yang sepatutnya. Kami bersedia untuk bantu kerajaan. Namun kerajaan perlulah membuat dasar yang holistik.

Covid-19 Bawa Kesan Buruk

Betullah seperti yang diramalkan oleh pakar-pakar ekonomi, seabad yang lalu kita menghadapi Spanish Flu dengan suasana wabak yang hampir sama. Kesan daripada wabak itu ialah berlakunya The Great Depression iaitu kemelesetan ekonomi yang paling dahsyat.

Ramai pakar meramalkan pandemik covid-19 ini akan memberi kesan yang lebih dahsyat lagi daripada kesan Spanish Flu sekiranya kita tidak mempunyai perancangan yang baik, untuk menangani jangkitan, dan pada masa yang sama hendak menjaga ekonomi.

Semoga Allah SWT memberi kita kekuatan dalam menghadapi ujian ini bersama. Kita berada pada 10 hari akhir Ramadan. Mari kita fokus pada ibadah, banyakkan doa supaya Allah SWT terima doa-doa kita semua.

Semoga Allah memberi kita kekuatan untuk mengharungi ujian yang sangat besar ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here