Covid-19 catat 122 kes hari ini

0
79

Oleh NINA FARZUIN MD SHAROM

CYBERJAYA – Jumlah kes jangkitan baharu Covid-19 terus meningkat di mana sebanyak 122 kes dilaporkan Kementerian Kesihatan (KKM) hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah kes positif Covid-19 secara keseluruhannya adalah sebanyak 6,298 kes.

“Jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 adalah 1,780 kes dan mereka telah diasingkan dan diberi rawatan.
Daripada 122 kes baharu yang dilaporkan hari ini, 52 kes adalah kes import. Ini bermakna, kes penularan tempatan adalah sebanyak 70 kes,” katanya pada sidang akhbar perkembangan terkini Covid-19 di Putrajaya hari ini.

Pada masa sama, beliau berkata, terdapat 87 kes yang telah pulih dan dibenarkan discaj hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes telah pulih sepenuhnya sebanyak 4,413 kes atau 70 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

“Sehingga kini, seramai 27 kes positif Covid-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan daripada jumlah tersebut, 13 kes memerlukan bantuan pernafasan,” katanya.

Beliau turut berkata, terdapat pertambahan dua lagi kes kematian menjadikan jumlah kumulatif kes kematian 105 kes atau 1.66 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

“Kes kematian ke-104 merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 82 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit darah tinggi dan penyakit jantung. Pesakit itu dirawat di Hospital Sungai Buloh pada 22 April dan disahkan meninggal dunia semalam pukul 6.29 petang.

“Kes kematian ke-105 juga merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 64 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit kencing manis, darah tinggi dan penyakit buah pinggang. Pesakit itu telah dirawat di Hospital Tuanku Ja’afar Seremban pada 27 April dan disahkan meninggal dunia pukul 9.46 pagi tadi,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here