Covid-19: Jumlah kes kembali menurun hari ini

0
125

CYBERJAYA- Selepas berlaku peningkatan mendadak kes harian semalam, jangkitan baharu Covid-19 dalam negara kembali menurun dengan 30 kes direkodkan hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes keseluruhan penularan wabak itu 7,762 kes setakat ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, daripada keseluruhan kes baharu yang dilaporkan itu, penularan tempatan merekodkan 27 kes dengan jangkitan membabitkan warga Malaysia hanya 10 kes sahaja.

Beliau berkata, baki 17 kes lagi membabitkan jangkitan dalam kalangan bukan warga Malaysia, selain ada tiga kes lagi berkaitan kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara.

“Statistik hari ini juga menunjukkan terdapat 95 kes yang telah pulih dan dibenarkan discaj. Ini menjadikan jumlah kumulatif kes pulih sepenuhnya dari Covid-19 dan discaj wad sebanyak 6,330 kes iaitu 81.6 peratus daripada jumlah keseluruhan kes,” katanya dalam sidang akhbar harian Covid-19 di Putrajaya hari ini.

Menurut Dr. Noor Hisham, setakat ini jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 adalah 1,317 kes dan mereka sudah diasingkan serta diberi rawatan.

“Sehingga kini dilaporkan, sembilan kes positif Covid-19 dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU). Daripada jumlah itu, dua kes memerlukan bantuan pernafasan,” katanya.

Dalam pada itu, Dr. Noor Hisham berkata, tiada kematian berkaitan jangkitan Covid-19 dilaporkan kepada Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) setakat 12 tengah hari ini.

Katanya, ia menjadikan jumlah kumulatif kes kematian akibat jangkitan wabak berkenaan dalam negara ketika ini kekal 115 kes, 1.48 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here