
Oleh NINA FARZUIN MD SHAROM
CYBERJAYA – Kesemua 4,399 pendatang asing tanpa izin (PATI) yang berada di Depot Tahanan Imigresen Bukit Jalil, Semenyih dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur ( KLIA) telah selesai menjalani saringan Covid-19.
Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, seramai 353 pegawai dan kakitangan depot tahanan terbabit turut disaring di mana seorang kakitangan Depot Tahanan Imigresen Semenyih didapati positif Covid-19.
“Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah, MAEPS, Serdang telah mula beroperasi bagi merawat PATI yang didapati positif.
“Sehingga 27 Mei lalu, seramai 305 PATI dari Depot Imigresen Bukit Jalil, 45 dari Semenyih dan empat daru KLIA sedang menerima rawatan di pusat kuarantin dan rawatan ini.
“Sejak pusat ini dibuka untuk merawat PATI, seramai 370 PATI telah menerima rawatan dan 16 telah discaj,” katanya pada sidang akhbar di Putrajaya hari ini.
Pada masa sama, beliau memaklumkan bahawa kerajaan akan menghantar pulang PATI yang didapati negatif Covid-19.
“Kerajaan ingin berterima kasih kepada tiga negara iaitu Indonesia, Nepal dan Bangladesh yang telah bersetuju dengan cadangan kerajaan untuk menghantar pulang rakyat mereka.
“Wisma Putra akan berbincang dengan rakan sejawat di tiga negara tersebut bagi urusan penghantaran pulang,” katanya.