Covid-19: Kluster baharu libatkan pekerja pembersihan Bangladesh dikesan

0
92
Gambar yang tular semalam menunjukkan petugas kesihatan melakukan pemeriksaan ke atas warga asing melibatkan pekerja asing di sebuah syarikat pembersihan

CYBERJAYA – Kementerian Kesihatan (KKM) mengenal pasti satu kluster baharu yang melibatkan pekerja bukan warganegara Malaysia di sebuah syarikat pembersihan, hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, setakat hari ini sebanyak 24 kes positif Covid-19 telah dilaporkan dalam kluster tersebut yang melibatkan warganegara Bangladesh.

“Kes-kes positif ini dikesan oleh sebuah klinik swasta yang telah menjalankan saringan Covid-19 ke atas pekerja-pekerja sebuah syarikat pembersihan.

“Saringan ini telah dijalankan sebagai inisiatif pihak majikan untuk menyaring pekerja mereka. Secara keseluruhannya, daripada 150 pekerja bukan warganegara daripada syarikat tersebut yang telah disaring, 126 kes didapati negatif Covid-19,” katanya dalam sidang akhbar harian Covid-19 hari ini.

Dr. Noor Hisham berkata, daripada 24 kes positif kluster itu, 20 daripada mereka menginap di sebuah asrama di Kuala Langat, Selangor dan kini dirawat di Hospital Sungai Buloh.

Katanya, empat kes lagi menginap di sebuah pangsapuri di Nilai, Negeri Sembilan dan kini dirawat di Hospital Tuanku Ja’afar, Seremban.

Sehubungan itu, katanya, langkah-langkah pembendungan dan pencegahan seterusnya telah diambil seperti mengenalpasti dan menjalankan ujian saringan Covid-19 ke atas semua penghuni dan kontak rapat mereka termasuk pekerja bukan warganegara yang bertugas di unit lain.

Beliau berkata, setakat ini seramai 428 kontak rapat telah dikenalpasti dan akan disaring.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here