Covid-19: Lelaki lebih berisiko, kandungan ACE2 lebih tinggi dalam darah

0
147

CYBERJAYA – Kandungan sejenis enzim yang tinggi di dalam darah kaum lelaki menyebabkan mereka lebih berisiko untuk dijangkiti SARS-Cov-2 yang menyebabkan Covid-19.

Menurut laporan Reuters, enzim tersebut yang dikenali sebagai enzim penukar angiotensin 2 (ACE2) wujud di jantung, buah pinggang, tisu yang melapisi saluran darah, dan hadir dalam jumlah yang banyak di bahagian testis lelaki.

Kajian yang diterbitkan dalam Jurnal Jantung Eropah ini dilaksanakan oleh sekumpulan saintis dari beberapa buah universiti di benua tersebut.

Menurut Dr. Adriaan Voors dari Pusat Perubatan Universiti Groningen di Belanda, kajian yang dimulakan sejak sebelum pandemik Covid-19 diumumkan, telah berjaya mengumpul sebanyak 3,500 sampel darah pesakit kegagalan jantung dari 11 negara Eropah.

Namun, apabila saintis yang mengkaji Covid-19 mula memperkatakan tentang peranan ACE2 dalam jangkitan wabak ini, Voors dan pasukannya mula menyedari kaitan kajian tersebut dengan kajian mereka.

ACE2 yang meliputi sel bertindak sebagai reseptor kepada sel SARS-Cov-2 yang membolehkan koronavirus tersbut menjangkiti perumahnya.

“Dan apabila kami dapati jumlah ACE2 di dalam lelaki adalah lebih tinggi dari wanita, saya mula menyedari bahawa dapatan ini mungkin penjelasan kepada kenapa lelaki adalah lebih berisiko untuk maut akibat Covid-19 daripada wanita,” kata salah seorang ahli kumpulan saintis tersebut, Dr. Iziah Sama juga dari Groningen.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here