Covid-19: Majikan perlu patuhi garis panduan ditempat kerja

0
152

CYBERJAYA – Semua majikan dikehendaki mematuhi garis panduan mengenai pengendalian isu berhubung penularan Covid-19 di tempat kerja, khususnya membabitkan perintah kuarantin, cuti sakit dan pemberhentian pekerja. 

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, majikan juga boleh mengambil langkah sewajarnya untuk mengelakkan pemberhentian pekerja disebabkan Covid-19.

Tambah beliau, ia seperti disyorkan dalam tatacara keharmonian perusahaan atau Code of Conduct iaitu mengehadkan kerja lebih masa dan mengurangkan hari bekerja dalam seminggu atau mengurangkan bilangan kerja seminggu. 

“Besarlah harapan saya agar semua warga pekerja dan majikan dapat terus mendokong dan menjiwai cara kerja baharu atau norma baharu pekerjaan dalam keadaan kita sedang menangani wabak Covid-19. Insya-Allah, kita pasti menang,” kata beliau dalam Perutusan Khas sempena hari Pekerja hari ini.

Dalam pada itu, Muhyiddin turut mengingatkan para majikan dan pekerja sentiasa mematuhi Akta Kerja 1955, Akta Perusahaan 1966 dan akta-akta perburuhan di bawah Kementerian Sumber Manusia (KSM) yang sedang berkuatkuasa.

Beliau berkata, KSM telah mengeluarkan panduan pelaksanaan bayaran gaji penuh, bayaran gaji cuti sakit dan hospitalisasi bagi pekerja yang dikuarantin.

Menurut beliau, alternatif tindakan cuti tanpa gaji dan pengurangan gaji dengan persetujuan bersama di antara majikan dan pekerja dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). 

Sementara itu menerusi sambutan Hari Pekerja, beliau mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada petugas barisan hadapan yang menjalankan tugas membendung penularan Covid-19 ketika ini.

“Selamat Hari Pekerja khususnya kepada peara petugas barisan hadapan kita iaitu doktor, jururawat, polis, tentera, anggota Rela, imigresen, Angkatan Pertahanan Awam, Maritim Malaysia, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan semua pekerja dalam sektor awam dan swasta.

“Saya juga ingin mengucapkan selamat Hari Pekerja kepada semua pimpinan dan ahli kesatuan-kesatuan sekerja termasuk pimpinan Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS)  dan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC),” katanya. – MT 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here