Covid-19: Malaysia dijangka capai satu digit kes pada minggu depan

0
162

Dr. Noor Hisham Abdullah

CYBERJAYA – Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, Malaysia dijangka mencatat kes baharu Covid-19 pada angka satu digit pada pertengahan bulan ini.

Beliau berkata, jangkaan itu dapat dicapai sekiranya rakyat negara ini bersama-sama mengamalkan norma baharu.

“Sekarang kita sudah berjaya kurangkan dari segi kes pada dua angka, berdasarkan model yang dipakai kita tertinggal seminggu dan kita ada seminggu lagi.

“Sepatutnya 5 Mei (capai angka satu digit), sekarang kita anjak pada 12 Mei untuk capai dua angka atau satu angka,” katanya dalam sidang akhbar harian Covid-19 hari ini.

Namun begitu, beliau berkata, perkara paling penting ialah kes Covid-19 dalam negara terkawal dan hospital serta fasiliti kesihatan dalam negara mampu menampung jika terdapat pertambahan kes baharu.

Sementara itu, Dr. Noor Hisham turut menggesa orang ramai supaya mencontohi sikap rakyat Taiwan, Korea Selatan dan Vietnam yang hanya melaksanakan disiplin sosial bagi menangani Covid-19 tanpa perlu melaksanakan perintah berkurung.

“Mungkin sebab negara ini berjaya kerana mereka sudah melalui peperangan dan tahu betapa pentingnya erti kepatuhan pada prosedur operasi standard (SOP) untuk hidup.

“Kalau konsep ini berjaya dipraktikkan di Korea Selatan, Taiwan dan Vietnam, jadi kita harap rakyat Malaysia juga boleh patuh,” ujarnya.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here