
KUALA LUMPUR – Terapi muzik mampu membantu menangani gejala kemurungan dan memberi ketenangan terutama ketika masyarakat berdepan cabaran pandemik Covid-19 yang belum pernah berlaku sebelum ini.
Presiden Terpilih Persatuan Terapi Muzik Amerika, Lori Gooding berkata, muzik memainkan peranan penting menguatkan dan merapatkan hubungan sosial di tengah-tengah penularan wabak.
“Misalnya, ada orang yang menyanyi beramai-ramai serentak di seluruh dunia atau pemuzik terkenal mengadakan konsert secara maya. Walaupun contoh itu bukan terapi muzik, mereka menunjukkan bagaimana individu menggunakan muzik untuk berhubung dan cetuskan suasana tenang,” katanya seperti dilaporkan Bernama.
Gooding yang merupakan pendidik terapi muzik di Florida State University College of Music berkata, untuk seseorang individu merasa lebih santai ketika mendengar muzik, penting mendengar irama diminati lebih kerap kajian menunjukkan kekerapan boleh meningkatkan keberkesanan.
“Untuk tujuan santai, kajian menunjukkan menggunakan muzik yang sedatif (tidak terlalu aktif), tidak mempunyai lirik, antara 60-80 denyut seminit, paling berkesan.
“Namun, kesesuaian untuk setiap individu adalah berbeza,” katanya.
Menurut Gooding, berikutan wabak yang melanda kebanyakan ahli terapi muzik menawarkan perkhidmatan menggunakan pelbagai platform – termasuk Zoom, Google Meet dan beberapa platform lain.
Sementara itu, pemain sitar terkenal Malaysia, Samuel J.Dass berkata, muzik boleh berfungsi sebagai terapi kepada beberapa individu pada masa mencabar ini.
“Mungkin ramai mengalami tekanan emosi atau kemurungan dan lebih tenang apabila mendengar muzik. Setiap instrumen atau nyanyian, jika iramanya sesuai ia boleh membantu memberi kesan penyembuhan,” katanya.

Presiden Pusat Kesenian Komuniti Swara dan berpengalaman 46 tahun sebagai pemain sitar, beliau berkata seseorang dapat mendengar irama muzik sitar pada bila-bila masa yang disukai.
Menurut Dr Garry Kuan, pengasas USMKK Orkestra Simfoni di Kubang Kerian, Kelantan, terapi muzik tidak boleh menyembuhkan atau menyelesaikan masalah akibat krisis, tetapi dapat membantu kanak-kanak dan golongan dewasa belajar menangani krisis menggunakan kemahiran dan meluahkan perasaan serta emosi.
Beliau percaya alat muzik juga boleh dijadikan sebahagian terapi muzik.
“Biola antara yang bagus … namun ahli terapi perlu merangsang minat, keseronokan dan elemen pembelajaran ketika sesi terapi,” katanya.
