Covid-19 selamanya?

0
187
Adaptasi kepada teknologi dan aplikasi komunikasi kini menjadi pertimbangan utama majikan dalam era Covid-19.

RAYA kelima. Ramai yang sudah pun memulakan langkah ke pejabat dan ke tempat kerja. Salah seorang rakan penulis semalam sempat menghadiri sesi temuduga selepas hilang pekerjaan baru-baru ini.

Temuduga di sebuah syarikat pelancongan ternama itu diceritakan sebagai sesi yang cukup berbeza daripada temuduga-temuduga yang pernah dihadirinya sebelum ini.

“Dahsyat betul penangan Covid-19. Temuduga pun dah lain macam. Macam-macam yang dijadikan syarat.

“Kebolehan guna perisian komputer, aplikasi telefon pintar, media sosial, Zoom (tele-persidangan) dan macam-macam,” ujarnya.

Itu keluhan rakan penulis yang merasakan peluang untuk diterima bekerja di syarikat berkenaan tipis. Penulis hanya mampu memberi semangat semoga urusannya dipermudahkan.

Betul seperti katanya, Covid-19 memberi kesan yang tidak pernah kita bayangkan. Perubahan, pengorbanan bahkan pelbagai tuntutan yang serba baharu.

Di seluruh dunia, wabak itu telah pun menyebabkan jutaan manusia kehilangan pekerjaan dan mata pencarian. Sektor-sektor seperti pelancongan, penerbangan, perhotelan dan pendidikan boleh dikatakan berada dalam keadaan ‘koma’ ketika ini.

Lebih merungsingkan, apabila Pengarah Besar Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Tedros Adhanom Ghebreyesus kelmarin mengumumkan kebarangkalian masyarakat dunia akan hidup dengan Covid-19 buat selamanya.

Apa pun realitinya nanti, hidup tetap perlu diteruskan tapi bersediakah kita untuk berdepan dengan norma-norma baharu yang saban hari mengubah cara hidup kita.

Suka atau tidak, dalam ketidaktentuan orang ramai mencari peluang pekerjaan ketika ini, nasib sudah pasti akan menyebelahi mereka yang lebih bersedia dan mampu mengatur gerak selari dengan keperluan semasa.

Contoh terbaik boleh dilihat seperti langkah dilakukan syarikat tempat rakan penulis hadir temuduga tadi yang sudah pun memulakan pendekatan baharu sebagai syarat pengambilan pekerja.

Dan sudah tentu, setiap pengambilan kakitangan baharu dilaksanakan dengan memenuhi ketetapan dan keperluan yang berbeza demi kelangsungan syarikat.

Walaupun perkongsian cerita ini bukanlah sesuatu yang besar atau mengejutkan, ada yang boleh kita pelajari daripadanya terutama jika melihat dari perspektif pekerja dan majikan.

Sebagai pekerja, sudah tiba masanya untuk kita lebih peka terhadap kemahiran teknologi dalam era Covid-19. Misalnya pada adaptasi aplikasi sosial, melakukan persidangan secara maya dan sebagainya.

Tidak mustahil, ketrampilan berinteraksi di hadapan kamera seperti webinar dan podcast menjadi bonus bagi yang memilikinya.

Hakikatnya, tidak rugi juga jika kita mengosongkan minda untuk sentiasa belajar dan menguasai kemahiran baharu. Dalam erti kata lain, keupayaan ‘bermigrasi’ mengikut keperluan majikan dan tidak ‘stuck’ pada satu kemahiran sahaja.

Dari perspektif majikan pula, Covid-19 dijangka mengubah bentuk hubungan majikan-kakitangan secara lebih drastik.

Satu daripada impak yang jelas adalah pengurangan fungsi pihak pengurusan (pertengahan). Bahkan kajian daripada sektor pekerjaan antarabangsa juga meramalkan bentuk interaksi baharu itu akan menjadikan hubungan bos dengan pekerja bawahan lebih ‘dekat’.

Begitu juga dengan tawaran pekerjaan yang dilihat akan lebih banyak bersifat sementara atau kontrak sehinggalah majikan berpuas hati dengan kemahiran yang ‘dicagar’ semasa temuduga benar-benar teruji.

Kesemua langkah itu dilakukan tidak lain adalah untuk mengelak sebarang pembaziran sumber tenaga kerja dan sumber kewangan/penggajian.

Malah dengan kelonggaran bekerja dari rumah, sudah tentu majikan akan melaksanakan pemantauan atau penilaian Indeks Prestasi Utama (KPI) secara lebih ketat.

Itulah dimensi baharu sebahagian daripada kita warga kerja makan gaji yang terkesan akibat Covid-19. -MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here