Covid-19: Tukang gunting rambut warga asing dicari

0
400
Gambar hiasan

CYBERJAYA – Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, pihaknya sedang mengumpul data jumlah sebenar pekerja warga asing yang bekerja sebagai tukang gunting rambut sebelum memberi kebenaran kepada industri tersebut beroperasi semula.

Beliau berkata, setakat ini prosedur operasi standard (SOP) mengenai operasi kedai gunting rambut sudah diterima Kementerian Kesihatan (KKM) dan berada dalam proses penelitian akhir.

“Kita telah menerima surat daripada persatuan. Kita sudah melihat SOP dan kita sedang memperhalusi kerana industri ini membabitkan sentuhan dengan pelanggan. Justeru, kita hendak meneliti bagaimana kita boleh melihat kadar jangkitan.

“Kita juga hendak tahu berapa ramai warga asing bekerja gunting rambut. Kita perlu mendapat data ini dulu sebelum buka kedai gunting rambut” katanya dalam sidang akhbar harian Covid-19, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas permohonan daripada persatuan yang mewakili industri gunting rambut untuk membuka semula operasi dengan mematuhi SOP ditetapkan kerajaan.

Sebelum ini, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegaskan perkhidmatan gunting rambut termasuk yang dibuat di rumah pelanggan dilarang.

Ismail Sabri berkata, perkhidmatan gunting rambut masih tidak dibenarkan kerana tersenarai dalam perkara yang dilarang sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here