Covid-19: Tumpuan diberikan kepada pekerja asing

0
72
Peningkatan kes Covid-19 secara mendadak dalam kalangan warga asing dalam negara mula menimbulkan kerisauan

CYBERJAYA – Kementerian Kesihatan (KKM) kini akan memberikan tumpuan bagi menjalankan ujian saringan Covid-19 kepada pekerja asing berikutan terdapat peningkatan kes jangkitan melibatkan mereka di negara ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, berikutan itu tumpuan akan diberikan terhadap pekerja asing terutamanya di zon merah di Selangor dan Kuala Lumpur.

“Polisi kita sekarang ialah untuk memastikan saringan kesihatan dilakukan terhadap mereka dan kita juga menggesa supaya setiap majikan bekerjasama.

“Ini kerana seperti hari ini sahaja, terdapat 30 kes baharu Covid-19 dan daripada jumlah itu 24 kes melibatkan warga asing,” katanya dalam sidang akhbar harian Covid-19 hari ini.

Mengulas lanjut, katanya, daripada baki enam kes melibatkan rakyat tempatan hari ini, didapati jangkitan mereka datang dari Pasar Borong Kuala Lumpur yang mempunyai jumlah kes tinggi melibatkan rakyat asing.

Sementara itu, ditanya mengenai kit ujian pengesanan antigen yang diterima dari Korea Selatan minggu lalu, katanya, alat tersebut telah dihantar ke beberapa negeri dan lokasi.

“Kita sudah menerima 50,000 alat ini dan sudah dihantar ke Sabah dan Sarawak masing-masing sebanyak 10,000 unit, 15,000 unit ke Johor dan bakinya dihantar ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

“Hujung bulan ini kita akan menerima sebanyak 100,000 lagi peralatan ini,” katanya.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here