Covid-19: Warga asing dominasi kes jangkitan baharu

0
104
Gambar hiasan

CYBERJAYA – Sebanyak 41 daripada 50 kes baharu Covid-19 yang dicatatkan di seluruh negara hari ini melibatkan warganegara asing.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, pertambahan kes itu menjadikan secara keseluruhan jumlah kes positif Covid-19 adalah sebanyak 7,059 kes dan jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 adalah 1,149 kes.

“Daripada 50 kes baru yang dilaporkan, tiga kes adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara.

“Daripada 47 kes penularan tempatan, 41 kes adalah bukan warganegara Malaysia di mana 34 kes telah dikesan di Depot Tahanan Imigresen (DTI) di Bukit Jalil,” katanya dalam sidang akhbar harian Covid-19 hari ini.

Beliau berkata, sehingga kini, terdapat 10 kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dan daripada jumlah tersebut tujuh kes memerlukan bantuan pernafasan.

Dalam pada itu, katanya, hari ini juga tiada kes kematian berkaitan Covid-19 dilaporkan sekali gus jumlah kumulatif kes kematian akibat wabak itu kekal sebanyak 114 kes.

“Sementara itu, terdapat 90 kes yang telah pulih dan dibenarkan discaj pada hari ini. Ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya daripada Covid-19 dan telah discaj dari wad adalah sebanyak 5,796 kes atau 82.1 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

“Justeru, bilangan kes pulih adalah hampir dua kali ganda kes baharu yang dilaporkan,” ujarnya.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here