DBKL semak lesen elak sewa, pajak kepada peniaga warga asing

0
10434

CYBERJAYA- Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan membuat semakan terperinci terhadap semua lesen perniagaan termasuk penjaja bagi mengekang aktiviti menjual, memberi dan memajak lesen kepada warga asing.

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa berkata, beliau mahu peniaga dan penjaja memiliki lesen perniagaan tetapi memberi, meminjam serta memajaknya kepada warga asing memulangkan semula lesen kepada pihak berkuasa.

Beliau berkata, pihaknya juga mencadangkan agar satu sistem senarai hitam dapat dibangunkan bagi menjejaki pihak yang ingkar dengan memohon lesen perniagaan tetapi bertindak menjualnya kepada warga asing.

“Kita mengesyorkan dan mencadangkan mereka yang didapati melanggar peraturan dengan menjual atau meminjamkan lesen kepada warga asing supaya mereka serahkan balik lesen.

“Atau mereka berkemungkinan berhadapan dengan tindakan lesen bukan saja dibatalkan, malah kita cadangkan sistem senarai hitam kepada pemohon yang memberikan maklumat tidak tepat kepada pihak berkuasa,” katanya dalam sesi Facebook Live hari ini.

Menurut Anwar, DBKL sama sekali tidak pernah membenarkan warga asing memiliki lesen perniagaan dan pihak yang memberi lesen kepada golongan berkenaan secara jelas telah melanggar undang-undang.

“Saya mahu penegasan dalam soal ini (lesen), sama sekali tidak boleh diberikan sama ada dalam bentuk sublesen atau pinjam lesen kepada warga asing.

“Ini termasuk untuk penjaja dan peniaga kecil, pasar raya, pasar mini, kedai runcit dan serbaneka 24 jam, stesen minyak, pasar basah, kedai kaki lima kekal, kedai tekstil dan banyak lagi,” katanya.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here