Dewan Rakyat: Hanya titah diraja, tiada sebarang usul dibenarkan

0
443
Tan Sri Mohamad Ariff

CYBERJAYA -Sidang Dewan Rakyat yang akan berlangsung pada 18 Mei ini hanya akan melibatkan titah diraja tanpa ada sebarang usul dibenarkan.

Yang di Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Mohamad Ariff Md. Yusof berkata, beliau telah menerima surat pemakluman yang ditandatangani oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Ketua Majlis yang memaklumkan penularan wabak Covid-19 dalam negara masih belum reda sepenuhnya.

Berikutan itu, katanya, pihak kerajaan memutuskan Majlis Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Parlimen Ke-13 yang akan berlangsung sehari dipinda.

“Urusan majlis melibatkan titah diraja iaitu istiadat pembukaan penggal parlimen oleh Yang di-Pertuan Agong pada Isnin ini pukul 10 pagi.

“Dewan Rakyat dan Dewan Negara akan bersidang serentak. Tiada sidang selepas titah diraja,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, katanya, pindaan itu adalah selaras dengan Peraturan 11(2) dan 15(2) Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.

Baru-baru ini, Mohamad Ariff menerima usul daripada Ahli Parlimen Langkawi, Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk mengemukakan usul tidak percaya terhadap Perdana Menteri.

Penerimaan usul itu mendapat respon pelbagai daripada orang ramai memandangkan negara masih belum pulih sepenuhnya daripada wabak Covid-19 dan mahukan sebuah pentadbiran yang stabil tanpa sebarang gangguan politik. -MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here