Dr. Luqman dilantik sebagai Mufti Wilayah Persekutuan

0
550

CYBERJAYA – Pensyarah di Jabatan Fiqh dan Usul, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (UM) , Dr. Luqman Abdullah dilantik sebagai Mufti Wilayah Persekutuan yang baharu.

Berita perlantikan anak kelahiran Pasir Mas, Kelantan itu diumumkan oleh UM dalam laman rasmi Facebook miliknya semalam.

“UM berbangga dan merakamkan ucapan setinggi tahniah kepada Dr. Luqman daripada Jabatan Fiqh dan Usul, Akademi Pengajian Islam atas pelantikan sebagai Mufti Wilayah Persekutuan berkuatkuasa mulai 15 Mei hingga 14 Mei 2022.

“Kami ucapkan selamat berbakti di medan baharu dan berkhidmat demi kebaikan ummah,” katanya.

Berita perlantikan Dr. Luqman yang diumumkan dalam Facebook UM

Sejak semalam berita perlantikan Luqman, 51, sebagai Mufti Wilayah Persekutuan mula berlegar di media sosial namun tiada sebarang pengumuman rasmi dibuat oleh pihak pejabat mufti atau badan lain.

Luqman yang juga merupakan Pengerusi Madrasah Ar Rahmaniah Pondok Lubok Tapah merupakan lulusan ijazah sarjana muda UM dalam bidang syariah.

Di samping itu, beliau juga mengikuti pengajian tidak formal secara tradisional di pondok Lubok Tapah di bawah bimbingan ayahnya sendiri yang dikenali sebagai Tuan Guru Haji Abdullah.

Selain itu, beliau juga pernah melanjutkan pengajian dalam peringkat ijazah doktor falsafah (PhD) selama empat tahun di Universiti of Edinburgh, Scotland pada tahun 2005 dalam bidang undang undang harta Islam.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here