Dr. Noor Hisham mahu rakyat negara ini muat turun aplikasi MySejahtera

0
268
Aplikasi MySejahtera yang dibangunkan untuk membantu orang ramai melakukan penilaian kesihatan kendiri.

CYBERJAYA – Aplikasi MySejahtera yang diperkenalkan kerajaan dalam pengawasan wabak Covid-19 menawarkan dua ciri penting iaitu pengumuman lokasi kes dan maklumat berkaitan fasiliti saringan terdekat.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, aplikasi itu membolehkan pengguna melakukan penilaian kesihatan kendiri di samping membantu Kementerian Kesihatan (KKM) mendapatkan maklumat awal tahap kesihatan dengan cepat dan berkesan.

Katanya, aplikasi yang dibangunkan dengan kerjasama pelbagai agensi itu membantu pengawasan wabak Covid-19 di dalam negara dengan memperkasakan rakyat atau pengguna dengan maklumat semasa berkaitan wabak.

“Antara fungsi MySejahtera adalah pengesan hotspot ataupun “hotspot tracker” yang membolehkan pengguna mengenal pasti kawasan hotspot kes dalam lingkungan satu kilometer dari lokasi pengguna atau alamat carian.

“Ia juga memberi maklumat fasiliti saringan Covid-19 yang
terdekat dan bantuan nasihat secara atas talian,” katanya dalam sidang akhbar harian di Putrajaya di sini hari ini.

Dr. Noor Hisham berkata, selain untuk diri sendiri, pengguna juga boleh mendaftarkan maklumat ahli keluarga untuk mendapatkan penilaian tahap kesihatan.

“Pengguna yang telah memuat turun aplikasi ini perlu
mengemaskini kepada versi terbaharu bagi mendapat manfaat penuh MySejahtera.

“Aplikasi ini akan ditambah baik dengan ciri-ciri
terkini dan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” katanya.

Selain itu katanya, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) juga membangunkan aplikasi MyTrace yang membolehkan pengesanan kontak individu yang disahkan positif Covid-19.

“MyTrace adalah pelengkap kepada aplikasi MySejahtera. Contact Tracing adalah sangat penting supaya kita tahu siapa yang pernah berada berdekatan dengan seseorang yang dikenal pasti positif Covid-19.

“MyTrace tidak mengumpul sebarang maklumat geo-lokasi pengguna, sebaliknya merekodkan log gelombang Bluetooth apabila pengguna berada berdekatan antara satu sama lain.” jelas beliau lagi.

Kedua-dua aplikasi itu adalah percuma dan rakyat digalakkan untuk mendapatkan kedua-dua aplikasi ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here