Dr Zulkifli kongsi pengalaman pegang jawatan Mufti Wilayah Persekutuan

0
186

Oleh NURUL FIRDAUS KHAIRI

CYBERJAYA – Enam tahun memegang jawatan sebagai Mufti Wilayah Persekutuan memberi pengalaman baharu yang amat bermakna buat bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) itu berkata, beliau memohon maaf kepada semua umat Islam di Wilayah Persekutuan dan Malaysia amnya sekiranya terdapat tutur kata, tindakan mahupun apa jua salah dan silap sepanjang enam tahun sebelum ini.

“Alhamdulillah, pada pagi ini selepas mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN), saya menerima kunjungan Sahibus Samahah Dr Luqman Abdullah, Mufti Wilayah Persekutuan ke-8 yang baharu dilantik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dr Zulkifli yang turut menzahirkan ucapan tahniah di atas pelantikan Mufti Wilayah Persekutuan itu melahirkan keyakinannya bahawa Luqman mampu memimpin institusi fatwa di Wilayah Persekutuan yang memberi manfaat besar kepada umat Islam di Wilayah Persekutuan.

“Saya berdoa kepada Allah SWT semoga dikurniakan kekuatan kepada Sahibus Samahah Mufti Wilayah Persekutuan agar dapat melaksanakan amanah dengan sebaik mungkin.

“Satu majlis serah terima tugas berlangsung dalam suasana yang ringkas dan mahabbah,” katanya.

Kekosongan jawatan Mufti Wilayah Persekutuan selepas Dr Zulkifli dilantik menjadi Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), sejak 9 Mac lalu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here