Dua bekas ADUN PKR Kedah berdepan tuntutan RM10 Juta

0
135

ALOR SETAR- Dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PKR Kedah yang mengumumkan keluar parti hari ini berdepan tuntutan RM10 juta setiap seorang.

Pengerusi PKR Kedah, Datuk Johari Abdul berkata, dua ADUN itu sebelum ini telah menandatangani dokumen perjanjian yang membolehkan mereka dikenakan tindakan jika keluar parti.

“Sebelum menjadi calon, mereka berikrar, tanda tangan dokumen jika keluar parti dan lompat parti, mereka berdepan tindakan daripada PKR yang akan kemukakan tuntutan RM10 juta setiap seorang atas pengkhianatan yang mereka lakukan hari ini.

“Jadi, bersedialah dengan tindakan ini kerana inilah yang saudara janji kepada rakyat untuk berkhidmat kepada rakyat,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Media hari ini melaporkan, ADUN Lunas, Azman Nasrudin dan ADUN Sidam, Dr. Robert Ling Kui Ee mengumumkan keluar PKR dan menyokong kepemimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di peringkat Pusat.

Berikutan itu, mereka turut menyokong kepemimpinan Perikatan Nasional (PN) Kedah sekali gus bakal menyaksikan perubahan kerajaan di peringkat negeri.

Mengulas lanjut, Johari menyifatkan tindakan dua ADUN terbabit sebagai pengkhianatan kepada rakyat.

“Kami sudah menjangkakan tindakan dua ADUN ini yang sentiasa bersama Datuk Seri Mohamed Azmin Ali. Selepas Azmin keluar PKR dan sertai PN, tindakan mereka berdua sudah dapat dijangka.

“Saya yakin rakyat di bawah marah kepada dua ADUN ini kerana mereka menjadi wakil rakyat selama dua penggal atas sokongan rakyat, bukan kerana kekuatan mereka tetapi atas lambang yang mereka bawa iaitu lambang PKR,” katanya.

Justeru, beliau berkata, pengkhianatan yang dilakukan dua ADUN terbabit membuktikan bahawa mereka lebih mementingkan diri sendiri berbanding perjuangan parti.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here