Gantung pengeluaran, penjualan arak

0
187
ISKANDAR ABDUL SAMAD

CYBERJAYA – Sebuah pertubuhan kerajaan (NGO), Pusat Sumber Untuk Kemajuan Masyarakat Dan Perumahan (Reach) menggesa kerajaan menggantung segera pengeluaran dan penjualan arak sehingga isu kemalangan melibatkan pemandu mabuk dapat diselesaikan.

Ketua Penyelarasnya, Datuk Iskandar Abdul Samad berkata, selain itu kerajaan juga digesa mengharamkan terus penjualan arak di kedai serbaneka 24 jam, kedai runcit dan stesen-stesen minyak.

Menurut beliau,  arak bukan suatu keperluan utama rakyat seperti makanan asas atau ubat-ubatan justeru itu tidak perlu dijual di kedai-kedai tersebut 24 jam sehari.

Beliau berkata, kedai-kedai tersebut dilanggani oleh semua peringkat umur justeru itu tidak perlu mendedahkan pelajar-pelajar sekolah kepada minuman tersebut.

“Isu arak ini bukan isu agama melibatkan umat Islam semata-mata namun telah mencetuskan masalah sosial yang melibatkan semua kaum dan semua agama. 

“Kerosakan dan kemudratan akibatnya telah dirasai oleh seluruh rakyat Malaysia,” katanya seperti dipetik portal Harakahdaily.

Beliau menambah, sejak akhir-akhir ini, isu itu semakin serius apabila beberapa kemalangan maut berlaku melibatkan pemandu mabuk dan kerajaan hari ini perlu melakukan sesuatu dengan segera.

“Sejak dari kerajaan lepas rakyat dijanjikan hukuman lebih berat bagi pemandu mabuk tetapi apa yang kita dapat lihat hanyalah peningkatan kematian akibat pemandu mabuk,” katanya.

Menurut beliau, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Ir. Dr. Wee Ka Siong telah menjanjikan pindaan agar hukuman lebih berat untuk pemandu mabuk dan akan mengambil kira pandangan orang ramai dan soal selidik.

“Kami berharap beliau mempercepatkan tindakan kerana telah jelas pandangan orang ramai terhadap isu ini justeru itu tidak perlu membazirkan duit kerajaan untuk membuat kajian lagi,” tegasnya.

Beliau berkata, mungkin ada yang berkata adalah hak rakyat bukan Islam untuk meminum arak. 

“Tetapi mereka lupa adalah hak seluruh rakyat Malaysia untuk tidak menjadi mangsa kepada masalah yang timbul akibat arak ini. Malah di Singapura terdapat zon larangan bagi arak.

“Kerajaan juga mesti merombak semula klasifikasi bagi arak dengan semua minuman mengandungi alkohol serta memabukkan diklasifikasikan sebagai arak tanpa mengira peratus kandungan alkohol,” katanya,

Menurutnya, apabila isu klasifikasi ini dibangkitkan ada pula yang mempertikaikannya kerana ia melibatkan ubat-ubat yang mengandungi alkohol. 

“Jangan jadikan ini sebagai alasan kerana masalah seperti ini boleh diselesaikan dengan melibatkan pakar-pakar,” katanya. – MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here