
FIRMAN Allah SWT: “Wahai orang beriman! Sesungguhnya meminum arak (khamar), berjudi, (berkorban untuk) berhala dan mengundi nasib dengan anak panah adalah perbuatan keji dan termasuk perbuatan syaitan. Maka jauhilah (perbuatan) itu agar kamu berjaya.” (Al-Ma’idah: 90).
Firman Allah dalam surah Al-Maidah ayat ke 90 mengenai bahaya meminum arak ini sudah mejangkaui lebih 1400 tahun tetapi sehingga kini masih ramai yang tidak mengendahkannya.
Tiga kejadian dalam tempoh sebulan melibatkan pemandu mabuk merempuh orang tidak berdosa termasuk seorang petugas barisan hadapan memang tidak boleh dimaafkan lagi.
Persoalannya sampai bila kejadian seperti ini akan terus berlaku? Sehingga ada yang mengeluarkan kenyataan sinis adakah sehingga menteri atau anak menteri atau anak VVIP tertentu yang terkorban akibat pemandu mabuk baru tindakan segera dapat diambil.
Mengikut akta dan hukuman sedia ada, hukuman bagi pemandu yang mabuk sangat ringan. Jika pemandu mabuk itu melanggar orang tanpa melibatkan kematian, dia hanya
dikenakan tindakan mengikut Seksyen 45A (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang RM1,000 dan tidak lebih RM6,000 atau penjara tidak lebih 12 bulan.
Kalau melibatkan kematian pula pesalah atau pemandu mabuk berkenaan boleh dikenakan hukuman mengikut Seksyen 44 Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa hukuman denda maksimum RM10,000 dan penjara maksimum 12 bulan.
Itu sahaja. Tak meninggalkan sebarang kudis langsung kepada pesalah berkenaan sedangkan yang menanggung derita ialah mangsa jika masih hidup dan cacat selepas dilanggar atau ahli keluarga mereka.
Jika ada insurans mungkin mendapat sedikit pampasan untuk meneruskan hidup tapi bayangkan jika tiada insurans dan tiada simpanan, dengan siapa lagi mereka boleh mengadu.
Jadi sudah tiba masanya kerajaan baharu mengambil tindakan tegas dalam isu penjualan arak yang mendorong orang meminum dan memandu secara mabuk. Sebagai sebuah negara Islam jangan hanya berselindung di sebalik nama Islam. Tindakan tegas berkaitan penjualan arak perlu dilakukan segera.
Sekarang bukan sukar hendak peroleh minuman keras. Melalui rangkaian kedai runcit pun sudah peroleh air kencing syaitan ini.
Justeru cadangan Pas iaitu salah sebuah parti yang membentuk kerajaan sekarang supaya kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin segera menggantung semua pengeluaran, perniagaan dan penjualan arak sehingga semua langkah baru dapat diambil untuk menghalang pemandu memandu dalam keadaan mabuk perlu dilaksana segera.
Jika hendak menunggu akta berkaitan arak dibentang di Dewan Rakyat dan diluluskan, entah berapa banyak lagi nyawa bakal terkorban.
Untuk kerajaan, buatlah segera saranan orang ramai untuk menggantung penjualan arak sehingga akta baharu ini diluluskan. Percayalah, tiada siapa pun yang akan mati jika tidak minum arak, tapi arak menyebabkan mereka yang tidak berdosa pula mati.
Dan yang lebih penting jangan sampai ada yang menyindir dengan berkata masa jadi pembangkang macam-macam idea diberikan untuk menghukum pemandu mabuk tetapi apabila mendapat kuasa semua sudah terlena.
Paling dibimbangi, jangan sampai akhirnya orang awam yang mengambil tindakan sendiri pada pemandu mabuk. Ketika itu menyesal pun sudah tidak berguna.-MT