Garis panduan solat berjemaah, solat Jumaat diketahui Khamis ini

0
227

TAPAH – Garis panduan bagi membolehkan solat Jumaat dan solat berjemaah ditunaikan di masjid sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), dijangka diketahui Khamis ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, prosedur operasi standard (SOP) itu akan dibincangkan dan diperhalusi dalam satu mesyuarat bersama Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin petang ini.

“Hari ini saya nak bincang, jadi esok masuk mesyuarat Kabinet,” katanya seperti yang dilaporkan Berita Harian hari ini.

Terdahulu, beliau hadir ke Program Inspirasi Musaadah Ramadan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) di Kompleks Penjara Tapah, hari ini.

Kelmarin, Perdana Menteri mengumumkan bahawa satu garis panduan yang dibuat oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sedang diteliti bagi membolehkan solat secara berjemaah ditunaikan di masjid dan surau di seluruh negara.

Sejak seluruh negara melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac lalu, semua aktiviti keagamaan tidak dibenarkan dilakukan dalam rumah ibadat bagi mengelakkan penularan Covid-19.

Zulkifli berkata, pandangan berkenaan kemudiannya akan dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, Majlis Raja-Raja dan pihak berkuasa negara.

Ketika ditanya mengenai keputusan Perlis membenarkan solat Jumaat bersyarat mulai 15 Mei ini, Zulkifli berkata perkara itu tertakluk kepada bidang kuasa negeri masing-masing.

Sementara itu, mengenai solat Aidilfitri beliau berkata, pihaknya juga akan berbincang mengenai perkara itu secara khusus dalam masa terdekat.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here