
CYBERJAYA – Kerajaan digesa menggubal hukuman lebih berat termasuk hukuman restoratif bagi pemandu mabuk tanpa mengira sama ada mereka terlibat dalam kemalangan atau tidak.
Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (Pembela), Aminuddin Yahaya berkata, ia merupakan antara cadangan yang boleh diperhalusi kerajaan dalam menangani kes kemalangan sehingga membawa maut terhadap pemandu mabuk.
Beliau menambah, selain itu, kerajaan juga perlu meminda undang-undang terhadap pemilik premis seperti kelab malam, hotel, restoran dan lain-lain bagi memastikan pelanggan mereka tidak keluar premis dalam keadaan mabuk.

“Jika pelanggan mabuk mereka (pemilik premis) bertanggungjawab untuk menghantar atau menyediakan kenderaan pulang bagi memastikan tiada kemalangan berlaku.
“Kegagalan berbuat demikian boleh menyebabkan perniagaan mereka turut dipertanggungjawab bersama,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Aminuddin menambah, kerajaan perlu menggubal peraturan khusus bagi pemandu mabuk yang menyebabkan kerosakan awam, kecederaan atau kematian.
Beliau berkata, mereka perlu dikenakan tindakan gantirugi bagi membaiki kerosakan awam, membayar mangsa yang cedera dan keluarga mangsa yang maut.
“Kenakan tindakan membatalkan lesen memandu pemandu yang didapati mabuk sama ada terlibat di dalam kemalangan atau tidak.
“Kerajaan juga perlu menghadkan meminum minuman keras di premis persendirian sahaja bagi bukan Islam dan dilarang secara keras kepada umat Islam,” ujarnya.
Beliau berkata, satu program wajib bagi pemandu mabuk dilarang meminum minuman keras dalam tempoh waktu yang panjang dan diuji secara berkala.
Menurutnya, perbuatan yang tidak bertanggungjawab serta mementingkan diri sendiri sehingga menyebabkan kematian atau kecederaan ini juga tidak sejajar dengan nilai dan norma lazim di Malaysia serta tidak berpaksi kepada budaya leluhur dalam negara.
“Pembela mendesak kerajaan mengambil tindakan lebih tegas secara holistik bagi membendung gejala tidak diingini ini melalui tindakan pendidikan, perundangan dan hukuman yang setimpal,” tegasnya. – MT