Hampir 5,000 PATI Indonesia akan dihantar pulang

0
256

CYBERJAYA – Kerajaan akan menghantar pulang kira-kira 5,000 pendatang tanpa izin (PATI) warga Indonesia melalui dua fasa penghantaran pulang bermula 6 Jun ini.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, warga Indonesia dari depot tahanan seluruh negara itu akan dihantar pulang selepas persetujuan dicapai antara Kementerian Luar dan Jabatan Imigresen dengan Kedutaan Besar Indonesia pada 28 Mei lalu.

Beliau berkata, selain urusan penghantaran PATI dari Indonesia, kerajaan juga sedang dalam perbincangan untuk menghantar pulang PATI dari beberapa lagi negara.

Katanya, fasa pertama penghantaran pulang PATI akan membabitkan 2,189 warga Indonesia yang berada di DTI di Semenanjung dan Sarawak, serta 672 lagi di DTI Sabah.

“Fasa pertama pada 6 Jun 2020 melibatkan 2,189 warga Indonesia dari depot seluruh negara termasuk 672 dari Sabah dengan kumpulan pertama melibatkan 450 PATI akan dihantar ke Jakarta, Medan dan Surabaya.

“Seterusnya disusuli pada 10 Jun dengan penghantaran pulang 445 PATI menggunakan penghantaran jalan laut.

“Fasa kedua pula akan melibatkan 2,623 PATI yang akan dihantar pulang dalam masa dua bulan,” katanya dalam sidang akhbar di Putrajaya hari ini.

Ismail Sabri berkata, kesemua PATI akan menjalani ujian saringan Covid-19 sebelum dihantar pulang ke negara masing-masing.

“Kita juga membenarkan kakitangan pegawai atau wakil dari Kedutaan Besar Indonesia menyaksikan ujian dijalankan.

“Saya mewakili kerajaan Malaysia, ingin menyampaikan penghargaaan kepada kerajaan Indonesia atas kerjasama untuk membawa pulang rakyat mereka,” katanya.

Selain itu katanya, Jabatan Imigresen dan Wisma Putra juga sedang berbincang dengan Kedutaan Nepal dan Bangladesh bagi menghantar pulang 246 PATI Nepal dan 2,476 PATI Bangladesh yang berada di DTI.

“Kedutaan Kemboja juga telah menyatakan kesediaan untuk menerima pulang 67 warganegara mereka,” katanya.

Sementara itu, Ismail memberitahu video ‘perkampungan Bangladesh’ yang ditularkan baru-baru ini video lama yang dirakam kira-kira dua tahun lalu. -MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here