Hamzah senaraikan aduan salah laku Dr. Mahathir

0
665

PETALING JAYA – Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin menyenaraikan aduan salah laku terhadap Tun Dr. Mahathir Mohamad yang hari ini mendakwa bahawa beliau masih pengerusi parti berkenaan.

Beliau berkata, antara salah laku Dr. Mahathir ialah mengumumkan masih bersama-sama dengan Pakatan Harapan sebaik sahaja kerajaan Perikatan Nasional dibentuk bawah kepimpinan Presiden Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Selain itu katanya, Dr. Mahathir pada 4 Mei lalu membuat kenyataan bersama ketua-ketua parti komponen Pakatan Harapan mendesak sidang Parlimen dilanjutkan dan mengemukakan usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri yang dilantik dengan sah oleh Yang di-Pertuan Agong

“Dr. Mahathir pada 18 Mei juga mengadakan sidang akbar di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya bersama beberapa pemimpin PH dengan membuat pengumuman untuk terus berusaha menjatuhkan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Menurut laporan Free Malaysia Today, sidang akhbar berkenaan diadakan tidak lama selepas Dr. Mahathir mengadakan sidang akhbar di ibu pejabat Bersatu hari ini.

Terdahulu, satu video dimuat naik di Facebook memaparkan Dr. Mahathir menunggu mereka yang mahu memecatnya di pejabat pengerusi parti.

Semalam, dalam surat yang ditandatangani Setiausaha Kerja Bersatu, Muhammad Suhaimi Yahya, keahlian Dr. Mahathir dihentikan serta-merta selepas mengingkari parti dengan menyertai blok pembangkang di Dewan Rakyat.

Turut digugurkan anaknya, Datuk Seri Mukhriz, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Dr. Maszlee Malik, dan Datuk Amiruddin Hamzah.

Dalam perkembangan lain, Hamzah menegaskan mereka tidak dipecat daripada parti, tetapi keahlian mereka “terhenti” kerana melanggar perlembagaannya.

“Ini berlandaskan perlembagaan parti kerana kepentingan parti adalah lebih utama dari mana-mana individu. Tiada sesiapa mengatasi undang-undang apabila parti mempunyai perlembagaannya sendiri,” katanya.

Mengenai aduan salah laku terhadap Mahathir, Hamzah berkata Pengerusi Lembaga Disiplin Megat Najimuddin memaklumkan ia tidak lagi relevan untuk dibawa ke lembaga itu apabila kedudukan keahlian mereka terhenti mengikut Fasal 10.2.2 dan 10.2.3.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here