Hanya nama pesalah Akta 342 tak masuk daftar jenayah

0
177

CYBERJAYA – Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, hanya nama pesalah yang menerima hukuman di bawah Akta 342 kerana mengingkari Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tidak direkodkan dalam daftar jenayah.

Beliau berkata, ia berbeza dengan kesalahan di bawah kanun keseksaan yang perlu direkodkan.

“Ini bukan rekod jenayah biasa, tapi di bawah Akta 342 iaitu bukan jenayah yang direkodkan di bawah kanun keseksaan,” katanya dalam sidang akhbar harian selepas Mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai pengesahan Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador bahawa nama pesalah PKP tidak dimasukkan dalam sistem rekod jenayah Polis Diraja Malaysia.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, pesalah yang dipenjara ketika PKP bukan sahaja melakukan kesalahan di bawah Akta 342 malah mereka turut melakukan kesalahan di bawah kanun keseksaan.

Sementara itu, ditanya sama ada sekatan jalan raya akan dilonggarkan minggu hadapan, katanya, perkara itu akan diputuskan oleh pihak polis selepas ini.

“Dari segi sekatan jalan raya yang dilonggarkan, siapa-siapa pun boleh keluar ke pasar raya, bengkel dan yang lebih penting penjarakan sosial dipatuhi.

“Berikutan itu, polis akan memantau supaya prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi dan pada masa sama, Rela juga akan digerakkan bagi memastikan orang ramai mematuhi arahan dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here