
CYBERJAYA – Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, setakat hari ini hanya terdapat dua kawasan dikategorikan sebagai zon merah di seluruh negara.
Beliau berkata, kawasan tersebut melibatkan mukim Pedas, Negeri Sembilan dan Pudu, Kuala Lumpur.
“Setakat hari ini, dua kawasan ini sahaja berada dalan zon merah tetapi kita juga ada zon kuning,” katanya dalam sidang akhbar harian Covid-19 hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas bagaimana pihak berkuasa hendak mengawal perjalanan penduduk dari kawasan zon merah ketika sambutan Aidilfitri.
Dalam pada itu, Dr. Noor Hisham berkata, paling penting kerajaan sudah menghentikan perjalanan merentas negeri bagi mengelakkan pertambahan secara mendadak jumlah jangkitan Covid-19 yang berpunca daripada orang ramai pulang ke kampung.
Beliau berkata, kes melibatkan seorang wanita hamil yang pulang ke kampungnya di Kelantan dari Ampang kelmarin menyebabkan pihaknya perlu lebih berhati-hati.-MT