Haramkan penjualan arak di tempat terbuka di kawasan majoriti Islam

0
187
Kemalangan maut membabitkan seorang pemandu Toyota CHR yang dipercayai memandu di bawah pengaruh alkohol merempuh sebuah kenderaan sehingga pemandu Toyota Yaris meninggal dunia dalam kejadian di Jalan Pintasan Kuantan, Pahang, malam semalam.

CYBERJAYA – Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) mencadangkan supaya kerajaan mengawal ketat premis penjualan arak kepada umum secara terbuka dalam masa singkat ini bagi mengelak kemalangan maut melibatkan pemandu dibawah pengaruh alkohol.

Presidennya, Aminuddin Yahaya berkata, sebagai contoh haramkan terus penjualan arak di tempat terbuka seperti pasar raya, kedai runcit dan seumpamanya untuk sekurang-kurangnya di kawasan majoriti penduduk Muslim.

Tambah beliau, malah, lebih baik jika diharamkan terus penjualan secara terbuka supaya arak ini tidak mudah didapati dan secara perlahan-lahan mengurangkan kadar peminuman arak dalam masyarakat ke arah sifar peminum alkohol dalam masyarakat.

“Saya merasakan bahawa kerajaan perlu mengambil tindakan drastik secara holistik untuk menyelesaikan isu ini kerana kita tidak mahu lebih banyak nyawa yang tidak bersalah dipertaruhkan lagi. 

“Saya lebih risau kerana tidak mustahil peristiwa berdarah sebegini boleh berlaku pada ahli keluarga kita sendiri atau adakah kita perlu tunggu apabila tragedi sebegini berlaku kepada menteri-menteri, wakil-wakil rakyat dan orang kenamaan baru tindakan drastik mahu diambil?” soal beliau menerusi kenyataan yang dimuat naik dalam akaun Facebook miliknya hari ini.

AMINUDDIN YAHAYA

Dalam kejadian kira-kira 9.20 malam semalam, seorang pemandu Toyota Yaris maut dilanggar sebuah kereta dipandu lawan arus dipercayai akibat pengaruh alkohol di Jalan Pintasan Kuantan, Kuantan, Pahang.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Pahang, Superitendan Kamarulzaman Jusoh berkata, mangsa, Irwan Herman Kamarudin, 41, maut di tempat kejadian akibat parah di kepala dan dada.

Aminuddin menambah, banyak langkah boleh diambil oleh kerajaan dan sebenarnya sudah banyak dibincangkan dan disuarakan oleh rakyat marhain dalam pelbagai sesi diskusi, wacana, penulisan serta pelbagai platform lain.

Beliau berkata, mamun, masih tidak ada penambahbaikan yang diambil oleh pihak kerajaan.

“Kita mendesak agar undang-undang sedia ada ini dipinda dari segi hukuman yang dikenakan atas pesalah, penguatkuasaan serta peraturan yang berkenaan peminum dan industri arak ini secara keseluruhannya. 

“Insya-Allah, segala cadangan khususnya dari segi undang-undang ini akan kami perhalusi dan bentangkan kepada masyarakat dan pihak kerajaan sendiri,” ujar beliau.

Beliau juga menyeru rakyat dari semua latar belakang untuk bangkit menyuarakan kekesalan di platform, ruang lingkup dan kemampuan masing-masing agar kerajaan memandang serius akan perkara ini.

“Ingatlah, ini bukan permainan politik kerana ia adalah isu kita bersama yang akan menyelamatkan nyawa-nyawa yang tidak bersalah.

“Insya-Allah, kami, NGO-NGO Islam akan memperjuangkan isu ini habis-habisan demi kepentingan kita bersama. Ayuh kita perangi gejala arak ini bersama-sama!,” katanya. – MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here