Hendak beli baju raya? Ingatlah Malakat Mall

0
272
Salah satu premis yang menjual pakaian Hari Raya Aidilfitri buat pengunjung yang mencari keperluan raya di Malakat Mall.

RAUDHAH CITY – Menjelang Hari Raya Aidilfitri yang akan disambut tidak lama lagi, Pusat Beli Belah Malakat Mall menawarkan pelbagai pilihan kepada orang ramai yang mencari barangan keperluan termasuk pakaian untuk menyambut Hari Lebaran itu.

Ketua Pegawai Eksekutif Malakat Mall, Mohd. Fadzil Hashim berkata, sejak Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilaksanakan 4 Mei lalu, operasi Malakat Mall kembali beroperasi seperti sedia kala.

Menurut beliau, premis-premis yang sebelum ini ditutup telah kembali beroperasi semula yang membolehkan orang ramai berbelanja di pusat beli belah itu.

Tambahnya, bazar raya sebelum ini berada ditingkat dua beroperasi di ruang legar Malakat Mall bagi membolehkan peniaga menjual produk mereka kepada pelanggan yang berkunjung ke situ.

“Sebelum itu saya berbual dengan usahawan yang terlibat dengan bazar supaya mereka berniaga di ruang legar kerana disebelahnya terdapat pasar raya Raudhah Grocer sekali gus membolehkan pelanggan membeli belah di situ.

“Usaha ini dilakukan kerana sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, pendapatan usahawan terbabit terjejas. Apabila diminta berniaga di ruang legar terpancar wajah keceriaan mereka,” katanya ketika ditemui.

Menurut beliau, sepanjang PKP dilaksanakan hanya Raudhah Grocer yang beroperasi manakala kedai lain ditutup selaras dengan arahan kerajaan dalam mengekang Covid-19.

Mohd. Fadzil yang lebih dikenali sebagai Coach Fadzil berkata, orang ramai yang mahu mencari pakaian hari raya boleh didapati di ruang legar dan tingkat dua pusat beli belah itu.

“Di tingkat dua juga terdapat barangan keperluan untuk membuat persiapan raya. 

“Jangan bimbang untuk berkunjung ke sini kerana pengurusan sentiasa memberi penekanan tentang penjarakan sosial selain keselamatan lain yang diberikan penekanan oleh kerajaan,” ujarnya. – MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here