
CYBERJAYA – Pemimpin kerajaan diminta berhenti menggunakan naratif ‘arak adalah hak bukan Islam’ kerana minuman itu merosakkan individu, keluarga, masyarakat dan negara tanpa mengira apa jua agama.
Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), Amiruddin Yahaya berkata, jika terus dengan naratif itu maka mewujudkan sebuah masyarakat sihat dan bebas daripada ketagihan arah serta alkohol tidak akan tercapai.
“Saya ingin menyeru agar pemimpin agama lain selain Islam untuk bersama mendidik penganut masing-masing menolak arak demi kesejahteraan kita bersama.
“Saya merayu agar pemimpin negara khususnya menteri dan ahli politik, baik blok kerajaan mahupun pembangkang berhenti menggunakan naratif ‘arak adalah hak bukan Islam’.
“Ini kerana arak merosakkan individu, keluarga, masyarakat dan negara tanpa mengira apa agama kita sekali pun. Setiap rakyat Malaysia adalah penting dan berharga untuk dipelihara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Undang-Undang), Datuk Takiyuddin Hassan yang menyatakan hak orang bukan Islam untuk meminum minuman keras tidak dinafikan namun mesti mematuhi undang-undang bahawa tidak sepatutnya minum arak dan memandu.
Amiruddin berkata, semua pihak perlu berhenti mengatakan meminum arak merupakan ‘hak bukan Islam’ kerana setahunya tidak ada agama yang membenarkan arak.
“Ini adalah isu kita semua bersama, merentasi agama dan latar belakang sekalipun. Sepatutnya atas dasar ini sahaja sudah boleh menyatupadukan kita semua untuk sepakat menolak arak.
“Mengapakah para pemimpin kita tidak menggunakan naratif ini dalam mengulas dan membuat pendirian tentang arak?,” soalnya.
Beliau yakin pihak bersungguh-sungguh mahu mempertahankan hak minum arak ini biasanya adalah mereka yang jauh daripada agama masing-masing dan tidak percaya pada agama.
Beliau berkata, rakyat Malaysia adalah mereka yang percaya pada Tuhan, iaitu beragama dan ia selari dengan Rukun Negara pertama iaitu Kepercayaan kepada Tuhan.
“Malah, pengharaman arak dalam Islam adalah antara contoh manifestasi Rahmatan lil Alamin (rahmat buat sekalian alam) yang sebenar.
“Jika manusia menjauhi arak maka rahmat kesejahteraannya akan dinikmati bersama dari pelbagai aspek seperti kesihatan fizikal dan mental, ketenteraman awam dan sebagainya.
“Maka, mereka yang sering melaungkan slogan ‘rahmatan lil alamin’ dalam berpolitik semestinya menyokong, malah bersungguh-sungguh berusaha agar arak diharamkan di negara ini. Namun, malangnya saya tidak nampak perkara ini berlaku,” katanya.
Soal beliau, sekiranya kerajaan boleh memasang visi jelas ke arah negara sifar penjualan rokok menjelang tahun 2050 sebagaimana terkandung dalam Transformasi Nasional 50 (TN50) dahulu, mengapa tidak arak.
“Alangkah indahnya juga kerajaan boleh meletakkan komitmen dalam memerangi arak sebagaimana kita memerangi dadah,” ujarnya.
Beliau berkata, semua pihak tidak perlu malu menyokong cadangan mengharamkan penjualan arak di negara ini kerana ia tidak mencabul hak sesiapa. – MT