Ibu bapa masih berdegil, kerajaan bincang pinda Akta 342

0
411

Oleh NINA FARZUIN MD SHAROM

CYBERJAYA – Satu perbincangan akan dilakukan antara Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kesihatan (KKM) dan Peguam Negara berhubung pindaan peraturan di bawah Akta 342 bagi membolehkan tindakan diambil terhadap ibu bapa yang masih berdegil membawa anak kecil ke lokasi awam.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, setakat ini tiada sebarang tindakan undang-undang boleh diambil memandangkan tiada peraturan yang melarang golongan ibu bapa berbuat demikian.

“Memang pihak kami pun mendengar masih ramai yang membawa anak-anak kecil ke pusat membeli belah.

“Perkara ini melibatkan perundangan, kalau kita mahu ambil tindakan kepada ibu bapa mesti ada di dalam undang-undang atau peraturan di bawah Akta 342.

“Insya-Allah kita akan bincang dengan pihak Peguam Negara, Kementerian Kesihatan (KKM) bagi kita mencapai persetujuan,” katanya pada sidang akhbar di Putrajaya hari ini.

Jelasnya, perbincangan tersebut akan melihat dari pelbagai sudut dan lebih terperinci kerana ia berkemungkinan akan menyebabkan pelbagai implikasi yang lain.

“Kita akan lihat dengan cara yang lebih terperinci dan kita akan dapat nasihat dari Peguam Negara.

“Kalau perkara ini dipersetujui, peraturan boleh dipinda dan jika masih ada yang melanggar peraturan boleh dihukum di bawah Akta 342,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here