Ibu wanita hamil yang dijangkiti Covid-19 rayu jangan kecam anaknya

0
284
Gambar hiasan

KOTA BHARU – Ibu kepada wanita hamil 35 minggu yang disahkan dijangkiti Covid-19 ketika pulang ke kampung halamannya di Kuala Krai merayu orang ramai supaya tidak mengecam anaknya itu tanpa usul periksa.

Memetik laporan Berita Harian, Norazlina Abdul Rahim, 50, berkata, anaknya yang berumur 32 tahun mempunyai surat kebenaran untuk pulang ke kampung dan dijadualkan bersalin pada 19 Jun nanti.

“Tolong jangan kecam anak saya tanpa usul periksa, dia pulang ke kampung untuk bersalin, bukannya semata-mata untuk menyambut Aidilfitri.”

“Anak saya pulang untuk bersalin memandangkan usia kandungan sudah 35 minggu. Untuk bersalin di Ampang, Kuala Lumpur agak sukar kerana suaminya bekerja dan mereka juga mempunyai anak yang masih kecil berusia tiga tahun,” katanya.

Semalam tular berita mengenai seorang wanita hamil yang dijangkiti Covid-19 selepas pulang dari Ampang, Kuala Lumpur yang juga merupakan zon merah.

Kes ke-156 itu adalah kes positif pertama dikesan di Kuala Krai selepas lebih sebulan Kelantan diisytiharkan bebas wabak itu.

Norazlina berkata, pada mulanya anaknya itu agak tertekan sehingga bertindak menyahaktifkan akaun Facebooknya untuk sementara waktu.

“Namun kini keadaannya kembali stabil selepas saya dan suami memujuk supaya bertenang dan tidak mengendahkan kecaman itu,” katanya.

Beliau berkata, anaknya sendiri agak sukar untuk menerima berita memaklumkan dia positif Covid-19 kerana sepanjang di Kuala Lumpur, anaknya tidak ke mana-mana melainkan keluar untuk membuat pemeriksaan di klinik kesihatan.

“Namun saya sentiasa menasihatkan anak supaya menerima perkara ini dengan hati terbuka. Syukur alhamdulillah sehingga kini dia dalam keadaan sihat dan kini dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II).

“Malah, pagi ini saya sempat video call (panggilan video) dengannya dan setakat ini dia dalam keadaan baik.

“Namun, doktor memaklumkan mungkin perlu bersalin secara pembedahan memandangkan anak saya positif COVID-19,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here