Imigresen tahan 1,368 PATI di Pasar Borong Kuala Lumpur

0
401
Sebahagian PATI yang ditahan semalam

CYBERJAYA – Sebanyak 1,368 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan oleh Jabatan Imigresen dalam serbuan di sekitar kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Pasar Borong Kuala Lumpur dan Pusat Bandar Utara, semalam.

Menurut Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud, dalam serbuan pada pukul 6.30 pagi itu sebanyak 1,136 pegawai dan anggota daripada pelbagai agensi daripada imigresen, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Kementerian Kesihatan (KKM), Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) terlibat.

“Kawasan itu menjadi tumpuan warga asing yang majoritinya bekerja di kawasan pasar borong.

“Seramai 7,551 warga asing diperiksa dalam serbuan ini dengan 1,368 daripadanya dibawa untuk proses dokumentasi di pejabat Jabatan Imigresen Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur,” katanya dalam satu kenyataan hari ini

Dalam pada itu, katanya, semua tahanan itu terdiri daripada 1,009 lelaki, 261 wanita dan 98 kanak-kanak membabitkan 421 dari Indonesia, India (54), Pakistan (6), Myanmar (790), Bangladesh (78) dan selebihnya lain-lain warganegara.

Warga asing diperiksa terlebih dahulu oleh petugas kesihatan

Khairul Dzaimee berkata, semua warga asing itu telah diperiksa dan PATI ditahan sudah disahkan negatif Covid-19 oleh KKM.

“Antara kesalahan dikenal pasti adalah tiada dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa, memiliki dokumen (pas atau permit) palsu dan lain-lain kesalahan yang melanggar Akta Imigresen 1959/63.

“Semua Pati ditahan itu akan disiasat mengikut Akta Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM), Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” katanya.

Menurutnya, semua PATI akan diusir ke negara asal selepas menjalani hukuman dan akan disenarai hitam daripada memasuki Malaysia selama-lamanya.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here