Individu berstatus PR perlu bayar kos kuarantin atau berdepan tindakan

0
114

Oleh SITI AZIELAH WAHI

CYBERJAYA – Jabatan Imigresen akan menarik balik kemudahan ke atas individu berstatus Penduduk Tetap (PR) atau Pemegang Pas Lawatan Sosial Jangka Panjang yang tidak menjelaskan kos hotel selepas menjalani kuarantin wajib.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, dasar kuarantin wajib yang dikenakan kepada individu yang pulang ke tanah air dari luar negara hanya menanggung kos warganegara Malaysia sahaja.

“Pasangan atau ahli keluarga warganegara berstatus PR atau pemegang pas lawatan sosial jangka panjang yang mengikut pasangan menjalani kuarantin wajib mesti menanggung sendiri kos hotel.

“Jabatan Imigresen akan mengambil tindakan termasuk membatalkan kemudahan imigresen yang dinikmati sebelum ini,” katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Khas Menteri-Menteri Mengenai PKP hari ini.

Beliau berkata, terdapat dalam kalangan mereka ini yang enggan membayar kos kuarantin apabila keluar dari penginapan.

“Pejabat Peguam Negara juga akan meneliti perkara ini untuk tindakan undang-undang selanjutnya,” katanya.

Menurutnya, seramai 33,807 rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara telah dikuarantin wajib sejak 3 April lalu.

“Sehingga hari ini, seramai 26,121 individu telah selesai menjalani tempoh kuarantin wajib dan dibenarkan pulang,” katanya.

Pada masa sama katanya, sehingga pukul 8.00 pagi tadi sebanyak 231 pusat kuarantin telah beroperasi berbanding 229 pada hari sebelumnya, yang mana 14,496 individu sedang menjalani proses kuarantin wajib.-MBNews

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here