“Ini beras terakhir saya puan…” kongsi kakitangan JKM

0
344

Oleh NURUL FIRDAUS KHAIRI

CYBERJAYA – Jauh di sudut hati seorang petugas barisan hadapan atau ‘frontliners’ untuk melihat semua rakyat hidup dalam kesusahan.

Demikian perkongsian seorang petugas barisan hadapan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Noor Wisnita Abd. Rahman, 39, yang berkongsi kisah sepanjang melaksanakan tugasan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menurutnya, bergelar ‘frontliners’ tidak mematahkan semangatnya bertugas seperti biasa bergerak rumah ke rumah menghulurkan bantuan.

“Rasa puas itu memang ada tetapi bila penerima bisik beritahu puan… ini adalah beras terakhir yang saya ada, perkataan itu memang sebak untuk kita dengar.

“Bila dapat panggilan atau senarai nama memang kita teruja hendak hantar, mana taknya kita duduk rumah makanan kita banyak, mereka yang di luar sana susah nak makan apa pun tak ada,” katanya kepada MBNews.

Pembantu Pembangunan Masyarakat, JKM Daerah Subang Jaya itu berkata, bila mereka menerima beras dan telurpun memang mereka sudah bersyukur sangat.

Katanya, ternyata apabila dapat pergi rumah ke rumah hulur sumbangan itu hatinya rasa puas setidak-tidaknya dapat membuatkan mereka gembira.

“Tak sangka hari ini pertama kali kami terima sumbangan daripada badan sukarelawan, iaitu Zero Hunger rasa sangat bertuah ada juga orang hargai kita.

“Sekurang-kurangnya ada orang nampak juga namun secara jujur bukanlah kita minta dibalas,” katanya.

Bagi rakannya, Sahabudin Ismail, 40, pula berkata, sebagai petugas barisan hadapan sudah pasti sering rasa bimbang apabila berdepan dengan orang ramai sepanjang tempoh PKP.

Katanya, ketika bertugas di pusat kuarantin sebuah hotel baru-baru ini, dia sedih melihat keadaan ruang legar hotel sunyi ditambah makanan-makanan kepada mereka yang dikuarantin terpaksa digantung di tombol-tombol pintu hotel.

“Saya rasa virus ini mengerikan, pegang tombol pintu rasa takut, naik lif pun risau tetapi perlu juga nampak kebal supaya dapat beri keyakinan kepada mereka yang dikuarantin.

“Bagi saya mereka yang dikuarantin ini pun kita tak tau kesihatan mereka sama ada positif Covid-19 atau sebaliknya,” katanya.

Bagaimanapun katanya lagi, mujur pelbagai agensi bekerjasama dalam membendung penularan Covid-19 ini.

Katanya, bagi petugas JKM mereka sebenarnya bukan secara ‘directly’ dengan pesakit kerana mereka perlu melalui beberapa tapisan yang dikendalikan oleh pihak hospital terlebih dahulu.

“Bagaimanapun semua petugas barisan hadapan masih berisiko terdedah dengan Covid-19, apa yang saya boleh nasihatkan jaga diri, kawal pergerakan kita bersama,” kongsinya. -MBNews

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here