Jangan alpa, Covid-19 masih ada – Perdana Menteri

0
71

CYBERJAYA – Tan Sri Muhyiddin Yassin mengingatkan orang ramai supaya tidak alpa dan terus berwaspada meskipun usaha semua pihak dalam memerangi wabak Covid-19 semakin menunjukkan kejayaan.

Perdana Menteri berkata, ini kerana Malaysia masih di
peringkat awal pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan sebarang kemungkinan boleh berlaku.

“Dengan jumlah orang ramai yang mula keluar dari rumah untuk bekerja semakin meningkat, risiko jangkitan
juga turut meningkat.

“Jadi, beberapa minggu ke hadapan ini agak kritikal bagi kita. Hasil pelaksanaan PKPB hanya dapat dilihat dalan tempoh beberapa minggu lagi,” katanya dalam perutusan khas Perdana Menteri hari ini.

Muhyiddin berkata, sekiranya berlaku peningkatan kes yang ketara dalam tempoh itu, kerajaan terpaksa melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bagi kawasan-kawasan yang terjejas.

Sehubungan itu, Perdana Menteri merayu kepada orang ramai
supaya sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh kerajaan.

“Bukan susah, mudah sahaja. Elakkan tempat yang sesak dan amalkan penjarakan sosial.

“Pakai penutup mulut dan hidung dan sentiasa basuh tangan atau gunakan pencuci tangan. Selain itu, keluar rumah hanya jika perlu sahaja,” ujarnya.

Sementara itu, Perdana Menteri turut mengumumkan kebenaran kepada pasangan suami isteri yang tinggal berjauhan atas urusan kerja dibenarkan melakukan perjalanan rentas negeri.

Beliau berkata, permohonan itu boleh dibuat melalui
aplikasi Gerak Malaysia atau hadir sendiri ke balai polis yang berdekatan.

“Misalnya, suami bekerja di Perlis, isteri di Johor. Oleh kerana larangan perjalanan rentas sempadan negeri, ada suami yang dah tak berjumpa anak dan isteri selama dua bulan.

“Jadi saya nak mengumumkan kita berikan kelonggaran kepada pasangan suami atau isteri ini untuk melakukan perjalanan rentas sempadan negeri bagi tujuan berjumpa dengan keluarga,” katanya.

Muhyiddin berkata, bagi yang melibatkan perjalanan rentas negeri Sabah dan Sarawak, beliau memohon supaya kerajaan negeri tersebut dapat memberikan kelonggaran yang sama.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here