
Oleh NURUL FIRDAUS KHAIRI
PENULIS berasa seronok melihat gambar-gambar raya rakan-rakan, saudara mara, dan warga maya di Facebook menunjukkan aksi ‘sporting’ mengamalkan penjarakan sosial.
Mana tidaknya memasuki 4 Syawal pun masih ada lagi ahli keluarga memuatnaik gambar-gambar berpakaian sedondon merakam pelbagai aksi di halaman rumah bagi merasai kemeriahan Aidilfitri walaupun ketika Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ini.
Maaf juga kerana penulis tidak dapat nak singgah di setiap paparan ‘wall’ masing-masing mengucapkan Salam Aidilfitri.
Tetapi Alhamdulillah, penulis percaya sambutan hari raya tahun ini tetap meriah walaupun terpaksa mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
Bagaimanapun, dalam meraikan sambutan Aidilfitri dengan semuanya terbatas, janganlah pula kita melukakan hati orang sekeliling.

Penulis bukanlah hendak menegakkan benang yang basah tetapi cukup-cukuplah setiap individu menjaga diri masing-masing.
Jika masih menerima tetamu yang mengenakan penutup muka dan hidung ketika singgah beraya, tuan rumah usahlah mengata akan penggunaan topeng muka yang digunakan.
Tetamu seperti ini mempunyai niat yang baik mahu menjaga diri dari pelbagai aspek supaya tidak terdedah atau membawa si jahat (virus Covid-19) itu sehingga memberi kesan kepada orang lain.
Ya, mungkin ramai yang kata mengapa perlu kunjung mengunjung jika tidak mahu memberi kesan kepada orang lain?
Hakikatnya raya tetap raya, tradisi itu telah diamalkan sejak dahulu lagi bukan sahaja sebagai mengeratkan silaturrahim malah ia merupakan warisan orang Melayu kita.

Namun perlu kita ingat, jika tiada tradisi kunjung mengunjung dilakukan pada saat ini pun ramai yang sudah faham, mengapa.
Jadi, tak perlulah berkecil hati atau terasa hati jika ada ahli keluarga tidak datang beraya, tidak menjemput tetamu ke rumah, tidak bersalaman, tidak berpelukan, malah duduk jauh satu meter dengan kita.
Cukup sekadar hari pertama sahaja kita meraikan Aidilfitri di rumah masing-masing bersama keluarga sendiri tanpa berkunjung ke rumah adik beradik, jiran tetangga, atau sanak saudara yang lain.
Bagi penulis inilah masanya kita cuba perang habis-habisan menghentikan penularan Covid-19 ini.
Moga-moga Hari Raya Aidil Adha nanti tiada lagi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) atau PKPB dan kita semua boleh pulang menyambut Aidil Adha di kampung masing-masing dengan bergayanya… Insya-Allah.
Salam Aidilfitri 1441 H / 2020.
Maaf Zahir dan Batin atas salah silap selama ini.