Jangan bersedih. Sambut Aidilfitri dengan sederhana

0
105

Kupas Bawang

Oleh SITI AZIELAH WAHI

‘SAYU hati ini makin sayu…’ antara lirik lagu Air Mata Syawal dendangan penyanyi sohor tanah air, Datuk Seri Siti Nurhaliza pasti menyebabkan hati-hati si perantau sayu pilu dan mengalir air mata apabila mengenangkan tidak dapat pulang ke kampung halaman menyambut Hari Raya Aidilfitri kali ini.

Selepas hampir dua bulan bertabah menjalani Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), pengumuman oleh pemimpin nombor satu Malaysia bahawa tempoh PKPB dilanjutkan selama empat minggu lagi selain pergerakan rentas negeri untuk pulang menyambut Aidilfitri adalah dilarang, ramai mula merasakan sambutan hari kemenangan kali ini tidak meriah.

Hari ini memasuki hari ke-55 pelaksanaan PKP dan hari kelapan PKPB, disamping keluk pandemik jangkitan virus berkenaan semakin berjaya diratakan, dengan kawasan hijau bertambah, dan peningkatan kes pulih Covid-19 juga memberangsangkan.

Bagi rakyat yang mengikuti laporan dan statistik perkembangan harian virus yang boleh membawa maut itu, jauh di sudut hati pasti berharap dapat pulang ke kampung halaman menemui keluarga yang sudah lama tidak berjumpa.

Namun itu hanyalah segelintir sahaja.. Bagi rakyat Malaysia yang matang, hal berkaitan kesihatan dan keselamatan pasti menjadi keutamaan.

Apalah sangat pengorbanan tidak dapat balik kampung berbanding pengorbanan saf hadapan memerangi musuh yang tidak kelihatan ini perlu dihargai supaya penularan Covid-19 dapat dihentikan dan dilupuskan terus dari muka bumi ini.

Sambut sahaja secara sederhana bersama keluarga kecil masing-masing. Masak menu Aidilfitri, pakai pakaian cantik-cantik, maaf bermaafan sesama ahli keluarga. Kali ini saja!

Kerjasama jitu harus diteruskan. Pengiktirafan Malaysia sebagai antara negara terbaik menangani wabak pendamik ini perlu dijadikan pembakar semangat untuk kita terus berdisiplin tinggi sebagai barisan sokongan melawan penyakit berjangkit ini.

Kerajaan juga bagaimanapun membenarkan aktiviti kunjung-mengunjung sesama jiran dan kenalan dalam negeri yang sama namun dalam lingkungan tidak melebihi 20 orang.

Dalam hal ini, wajar kiranya kita sebagai rakyat untuk menelitinya dan lebuh berhati-hati. Dalam keghairahan dapat keluar rumah dan makan makanan enak hari raya, jangan pernah lupa penyakit itu ada di mana-mana.

Kita masih belum menang peperangan ini. Bagi penulis, tidak perlulah beraya rumah saudara mara atau jiran-jiran untuk raya tahun ini.

Lebih-lebih lagi ke rumah yang ada golongan berisiko seperti warga emas, bayi, dan individu berpenyakit kronik.

Tidak perlu bertanya tuan rumah bolehkah datang berjaya, kita faham-faham sendiri. Orang kita ni selalunya apabila ada yang bertanya memang sukar mengatakan tidak!

Walaupun orang dahulu kata ‘ tetamu datang bawa rezeki, tapi dalam tempoh ini tetamu datang bawa penyakit!

Kita Jaga Kita!

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here