Dua penduduk sebuah PPR di Lembah Klang menerima sumbangan menerusi program Zero Hunger baru-baru ini.
PENULIS berpeluang mengikuti pasukan Brainy Ranger Emegency Response Team (BERT) di Pantai Timur dalam mengagihkan bantuan menerusi program Zero Hunger kepada keluarga yang mengalami keputusan bekalan makanan.
Di wajah mereka kelihatan sayu menggambarkan bagaimana mahu menyuap nasi ke mulut ahli keluarga dalam mendepani Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum dilonggarkn kepada PKP Bersyarat minggu lalu.
Memang benar dugaan sepanjang PKP ini begitu hebat. Bekalan makanan semakin kurang, tidak boleh keluar bekerja sekali gus menyebabkan mereka keputusan kewangan untuk membeli barangan keperluan.
Masalah ini bukan hanya melibatkan penduduk di luar bandar sahaja tetapi insan yang tinggal di bandar pun tidak kurang menghadapi masalah sama.
Sejak PKPB dilaksanakan seminggu lalu, kehidupan rakyat kembali sedia kala namun ia dalam bentuk norma baharu untuk mengekang wabak Covid-19 di negara ini.
Walaupun hampir semua sektor ekonomi dibuka tetapi ada juga sektor-sektor lain masih belum diberi kebenaran oleh kerajaan untuk beroperasi.
Sebagai contoh, peniaga bazar Ramadan, taska, tadika, panggung wayang dan yang melibatkan perhimpunan orang ramai serta bersentuhan masih belum lagi dibenarkan.
Cuma bagi segelintir peniaga bazar Ramadan. Teknologi dalam talian yang sebelum ini dipandang sepi kini dimanfaatkan sepenuhnya untuk meneruskan perniagaan.
Namun masih ramai lagi yang tidak dapat bekerja atau berniaga kerana sektor tersebut mendatang risiko dijangkiti Covid-19.
Sumbangan penderma tidak kira sektor swasta, pertubuhan bukan kerajaan dan orang perseorangan yang prihatin dengan golongan itu dapat meringankan beban. Dengan bekalan makanan asas diterima sedikit sebanyak ahli keluarga dapat mengisi perut yang selama ini dicatu supaya tidak habis.
Tapi bagaimana pula dengan anak-anak kecil yang memerlukan susu untuk tumbesaran mereka?
Menurut rakan penulis, ketika dia menyampaikan sumbangan kepada sebuah keluarga dia melihat seorang kanak-kanak sedang menghisap botol susu yang mengandungi air merah seperti sirap.
Apabila ditanya kepada ibunya adakah kanak-kanak itu gemar meminum minuman tersebut lalu si ibu berkata sudah beberapa hari bekalan susu habis dan tiada duit untuk membelinya.
Tersentuh hati penulis mendengar kisah tersebut. Demi tidak mahu si kecil menangis mahukan susu, ibunya menggantikan air manis untuk hilangkan kelaparannya.
Maka inisiatif Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) dan Yayasan Brainy Bunch melancarkan Tabung Susu bagi golongan B40 menerusi program Zero Hunger baru-baru ini kena pada masanya.
Dalam membina negara pada masa depan kanak-kanak inilah yang akan menjadi penentu. Maka sebagai rakyat Malaysia yang sememangnya prihatin dengan bangsa sendiri tampillah membantu.
Jika selama ini rakyat Malaysia banyak membantu masyarakat antarabangsa, apa kata kali ini kita bantu rakyat kita sendiri dengan menghulurkan sumbangan di https://sadaqahmarket.com/product/bantuan-susu-kanak-kanak-b40/. Walaupun sumbangan kecil tapi besar bagi mereka yang menerimanya. – MT