
Oleh NINA FARZUIN MD SHAROM
CYBERJAYA – Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan membuat rondaan ke kawasan kediaman orang ramai terutama pada hari perayaan Aidilfitri.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pihak polis akan membuat pemeriksaan lanjut jika didapati terdapat jumlah kenderaan yang banyak di luar kediaman.
“Bila balik kampung ramai yang menganggap polis tidak akan membuat rondaan atau mengawal rumah orang ramai ketika hari raya.
“Jika didapati banyak kenderaan di luar rumah, polis akan menyemak kediaman tersebut dari segi jumlah yang berada di dalam rumah itu.
“Kalau banyak kereta berkemungkinan ramai orang, jadi polis akan menyiasat lebih lagi,” katanya pada sidang akhbar di Putrajaya hari ini.
Beliau turut memberi amaran agar orang ramai mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan bagi mengelakkan sebarang tindakan diambil.
“Memang betul tidak mungkin semua rumah akan dikawal tapi saya dimaklumkan tadi oleh Ketua Polis Negara bahawa sewaktu perayaan polis akan membuat rondaan di setiap kawasan,” tegasnya.