Oleh SITI AZIELAH WAHI
CYBERJAYA – Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengingatkan kepada semua individu yang telah lolos pulang ke kampung menyambut Hari Raya supaya tidak takut untuk kembali semula ke rumah masing-masing untuk bekerja.
Ismail Sabri berkata penjawat awam mahupun swasta yang berjaya meloloskan diri merentas negeri perlu bersedia berdepan tindakan undang-undang apabila mahu pulang ke ibu negara atau ke tempat kerja.
“Jangan jadikan alasan takut dikompaun sebagai punca enggan kembali untuk bekerja semula selepas pulang bercuti,” katanya.
Katanya golongan terbabit perlu bersedia untuk dikompaun kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
“Seperti saya katakan, selepas dapat balik kampung, bukan ada jaminan tidak lepas daripada tindakan polis untuk balik semula ke tempat kerja. Berani buat, berani tanggung.
“Kalau balik semula tak boleh lolos, bayarlah kompaun. Kita tak tahan mereka pulang, kita galak mereka pulang tetapi jangan pula kerana takut dikompaun sehingga tak balik pula dan hilang kerja pula,” katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Khas Menteri-Menteri Mengenai PKPB hari ini.-MBNews