Jangkaan PKPB kelam kabut meleset

0
239
Ismail Sabri Yaakob

CYBERJAYA – Dakwaan dan prasangka orang ramai yang mengatakan keadaan akan menjadi kelam-kabut ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang bermula semalam ternyata meleset.

Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, walaupun laporan polis menunjukkan peningkatan pergerakan dari segi jumlah kenderaan dan mereka yang keluar, keadaan masih terkawal kerana pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP).

“Jangkaan bahawa premis-premis perniagaan akan sesak dan tiada pematuhan SOP seperti penjarakan sosial jelas meleset.

“Hasil laporan pemantauan mendapati premis-premis perniagaan mengamalkan SOP yang ditetapkan dan orang ramai mematuhinya,” katanya pada sidang akhbar harian mengenai pelaksanaan PKP di Putrajaya, hari ini.

Ismail berkata, pengendali pusat pasaraya juga didapati mengambil suhu badan, menyediakan hand sanitizer, menghadkan jumlah pelanggan pada satu-satu masa dan memastikan pelanggan beratur di luar premis dalam jarak sosial dibenarkan.

“Kita juga menerima laporan ada pengusaha restoran yang mengambil nama pelanggan untuk tujuan pengesanan kontak jika terdapat kes positif Covid-19,” katanya.

Selain itu katanya, tinjauan dalam pengangkutan awam juga mendapati pengguna mengamalkan penjarakan sosial selain memakai topeng mulut dan hidung.

“Kerajaan ingin merakamkan ucapan terima kasih dan tahniah kepada orang ramai atas kawalan kendiri dalam mematuhi SOP yang ditetapkan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here