Jenazah tiga beradik lelaki mangsa lemas ditemukan

0
152
Jenazah salah seorang mangsa lemas ditemukan oleh pasukan penyelamat sebentar tadi

HULU TERENGGANU – Kesemua jenazah tiga beradik yang menjadi mangsa lemas di Sungai Terengganu dekat Kampung Kuala Telemong, di sini telah berjaya ditemukan sebentar tadi.

Mangsa pertama iaitu Umar Iskandar Mohd, 21, ditemukan oleh sepasukan anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) di dasar sungai kira-kira empat meter dari tebing sungai pada kedalaman lebih satu meter kira-kira pukul 9.50 pagi tadi.

Jasad dua lagi mangsa iaitu Khairil Firdaus, 17, dan Khalif Naim, 16 masing-masing ditemukan pada pukul 11.30 pagi dan 12.30 tengah hari tadi.

Semua mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Hulu Terengganu untuk dibedah siasat.

Dalam pada itu, memetik laporan Berita Harian, Penolong Pengarah Operasi Negeri, Mohd Basri berkata, operasi mencari dan menyelamat yang bermula sejak pukul 7 pagi tadi disertai 79 anggota membabitkan Unit Pengesanan Jabatan Bomba dan Penyelemat Malaysia (JBPM) (K9) Jalan Kelang Lama, Kuala Lumpur (lima), Polis (26), PPDA (10), Rela (tiga), Pasukan Bomba Sukarela (sembilan) dan Angkatan Pertahanan Awam (11).

“Kita membuat selaman selepas mendapat petunjuk dari Unit K9 yang turun ke sungai pukul 8.50 pagi,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya tidak menghadapi masalah sepanjang melakukan operasi SAR berikutan keadaan air yang tenang dan berpasir.

Dalam kejadian semalam, tiga beradik lelaki; Khalif Naim yang merupakan pelajar tingkatan empat Sekolah Imtiaz, Kuala Berang; Khairil Firdaus, pelajar tingkatan lima Sekolah Agama Mahmudiah, Kuala Berang dan Umar Iskandar yang juga penuntut di Universiti Malaya dikatakan mandi di kawasan sungai kira-kira 200 meter dari rumah mereka pukul 6.30 petang.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here