Jualan dalam talian meningkat 10 kali ganda

0
252
Jualan produk Jakel menerusi dalam talian meningkat 10 kali ganda sepanjang tempoh PKP dilaksanakan oleh kerajaan membendung wabak Covid-19.

KUALA LUMPUR – Keputusan kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lalu untuk membendung wabak Covid-19 di negara ini memberi kejutan kepada Pengarah Urusan Kumpulan Jakel, Datuk Mohamed Feroz Mohamed Jakel.

Beliau berkata, sepanjang 35 tahun menjalankan perniagaan ini kali pertama kerajaan melaksanakan arahan itu bagi memastikan rakyat negara ini tidak dijangkiti wabak tersebut.

Namun beliau turut mengucapkan syukur kerana langkah dilakukan kerajaan semasa fasa pertama PKP dilaksanakan demi memastikan rakyat tidak keluar rumah bagi mengelak mereka dijangkiti wabak itu.

“Mengambil kira keselamatan rakyat umumnya dan khususnya pekerja saya, mungkin segelintir pelanggan yang membeli belah pembawa virus itu yang boleh dijangkiti pekerja saya.

“Saya bersyukur dengan usaha kerajaan mengambil tindakan melaksanakan PKP,” katanya kepada Malakat Tribune ketika ditemui baru-baru ini.

MOHAMED FEROZ MOHAMED JAKEL

Beliau menambah, sepanjang penglibatannya dalam dunia perniagaan selama 35 tahun ini merupakan pertama kali kerajaan mengenakan arahan itu yang mengejutkan semua pihak.

Beliau berkata, namun sebagai peniaga beliau tidak duduk diam sebaliknya melancarkan perniagaan dalam talian terhadap produk-produk Jakel termasuk tudung Ariani.

“Apabila berlaku situasi itu ia mengejut tetapi kita mengambil inisiatif melancarkan dalam talian yang dilihat sebagai satu norma baharu dalam meneruskan perniagaan.

“Sejak dilancarkan jualan produk Jakel dan tudung Ariani dalam talian mendapat sambutan hebat. Permintaan meningkat 10 kali ganda berbanding sebelum ini,” jelasnya.

Pelanggan perlu mendaftar dan memeriksa suhu badan sebelum memasuki gedung Jakel di Kuala Lumpur.

Beliau berkata, beberapa duta syarikat itu terdiri daripada personaliti terkenal tanah air turut sama mempromosikan produk Jakel dalam media sosial masing-masing sekali gus meningkatkan lagi jualannya.

“Antara duta yang mempromosikan produk Jakel ialah Aaron Aziz, Nabil Ahmad, Yusof Iskandar, Awal Ashaari dan Hairul Azreen,”  katanya.

Beliau memberitahu, setelah kerajaan mengumumkan PKP Bersyarat (PKPB) pada 4 Mei lalu, pihaknya telah menetapkan prosedur operasi standard (SOP) bagi memastikan pelanggan yang membeli belah di gedung Jakel mematuhinya.

Beliau berkata, ada dalam kalangan kurang membeli dalam talian kerana mahu merasai kualiti kain selain melihat jika ada produk baharu di dalam gedung itu.

“Kita mengamalkan penjarakan sosial dan meminta pengunjung memakai pelitup mulut selain cecair pembasmi kuman turut disediakan. Jika pelanggan tidak membawa pelitup mulut, kita turut menyediakannya di pintu masuk.

“Cuma bilik persalinan tidak dibuka bagi pelanggan yang mahu mencuba pakaian sebaliknya pekerja Jakel akan mengukur badan pelanggan untuk pakaian yang diingini mereka,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya mengekalkan jenama-jenama sedia ada kerana sudah menjadi pilihan pelanggan. – MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here