Jumlah jangkitan Covid-19 di pusat tahfiz membimbangkan

0
105
Datuk Dr. Noor Hisham

CYBERJAYA – Kementerian Kesihatan (KKM) melahirkan kebimbangan dengan tren kenaikan kadar positif Covid-19 dalam kalangan pelajar dan kakitangan di madrasah tahfiz yang telah dikenal pasti.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, berdasarkan keputusan saringan yang dibuat, didapati kadar positif dalam kalangan kumpulan berisiko itu adalah 5.1 peratus.

“Jika dibandingkan dengan situasi pada satu minggu lalu, kadar positif di kalangan kumpulan berisiko ini adalah 4.4 peratus.

“Tren kenaikan kadar positif ini adalah membimbangkan kerana ia menunjukkan kebarangkalian untuk menjangkiti orang lain di kalangan kumpulan ini adalah semakin meningkat,” katanya dalam sidang akhbar harian Covid-19 hari ini.

Menurut Dr. Noor Hisham, daripada siasatan yang dijalankan oleh KKM, mendapati bahawa 96 orang daripada 635 orang yang dikesan positif Covid-19 tidak mempunyai sebarang gejala saluran pernafasan.

Katanya, situasi itu seterusnya boleh mengakibatkan penularan Covid-19 yang lebih meluas di kalangan ahli keluarga mereka dan juga masyarakat setempat, sekiranya langkah-langkah pencegahan tidak diambil.

Sehubungan itu, beliau menyarankan supaya pelajar pusat tahfiz yang sudah pulang ke rumah ibubapa atau penjaga dimohon menghubungi pejabat kesihatan daerah (PKD), klinik kesihatan atau hospital saringan KKM yang berdekatan untuk menjalani persampelan ujian Covid-19.

“Pelajar yang belum pulang diminta supaya kekal berada di madrasah atau pusat tahfiz, serta menghubungi PKD atau klinik kesihatan saringan terdekat agar dapat dijalankan aktiviti persampelan,” ujarnya.

Pada masa sama, beliau juga berharap pihak pengurusan pusat tahfiz menghubungi PKD berdekatan untuk memberikan maklumat mengenai pelajar dan kakitangan mereka supaya tindakan pendekatan tertumpu boleh dilakukan. -MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here