
Oleh NINA FARZUIN MD SHAROM
CYBERJAYA – Jumlah kenderaan yang yang cuba merentas negeri atas alasan mahu pulang ke kampung mencatatkan penurunan iaitu 434 berbanding 842 pada hari sebelumnya.
Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ke semua kenderaan tersebut telah diarah berpatah balik oleh pihak polis.
“Negeri yang mencatatkan cubaan rentas negeri untuk pulang ke kampung tertinggi adalah Kedah iaitu 87, 83 di Negeri Sembilan dan 59 di Melaka,” katanya pada sidang akhbar di Putrajaya hari ini.
Sementara itu, beliau turut memaklumkan semalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menahan 114 individu atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
“Daripada jumlah itu, seramai 86 individu direman manakala 28 individu dijamin.
“PDRM turut mengeluarkan kompaun kepada 433 individu atas pelbagai kesalahan ingkar arahan PKPB.
“Tiada kompaun dikeluarkan oleh PDRM atas kesalahan ziarah Aidilfitri. Sebanyak 114 kompaun dikeluarkan di lapangan, yang mana 108 dikeluarkan di sekatan jalan raya,” katanya.