Jururawat profesion mulia, kongsi Najib

0
63

Oleh NURUL FIRDAUS KHAIRI

CYBERJAYA -Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengajak orang ramai menyampaikan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada para jururawat sempena Hari Jururawat Sedunia.

Melalui hantaran di Facebook miliknya sebentar tadi, beliau berkata, kerjaya jururawat sebenarnya satu profesion yang mulia.

Menurutnya, kerjaya tersebut memerlukan pengorbanan yang tinggi dari segi masa dan tenaga.

“Selain doktor, merekalah yang paling kerap berdepan dengan pesakit di hospital dan sentiasa berdepan dengan risiko tinggi.

“Mereka juga perlu sentiasa tenang dan fokus dalam apa jua keadaan terutamanya ketika kecemasan,” kongsinya.

Dalam hantaran yang dimuat naik beberapa minit yang lalu itu, Najib berkata, bergelar jururawat perlu prihatin pada setiap masa, ada kalanya mereka berkongsi suka duka dan mencurahkan kasih sayang kepada yang memerlukan.

Katanya, pesakit kanak-kanak dijaga bagaikan anak-anak sendiri, pesakit warga emas diberi layanan bagaikan ibu bapa sendiri.

“Tanyalah kepada mana-mana jururawat. Setiap seorang mempunyai kisah mereka.

“Baru-baru ini dalam membasmi wabak penularan Covid-19, mereka telah memainkan peranan yang penting,” katanya yang turut mendoakan semoga semua jururawat sentiasa dikurniakan kesihatan dan dilindungi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here